Menyingkap sedikit PRK Galas dan Batu Sapi

Pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi tidak akan membuat apa-apa perubahan besar kepada senario politik negara. Namun, kesan mendalam akan membabitkan beberapa personaliti yang terlibat secara langsung dengan kedua-dua PRK di Kelantan dan Sabah itu.

Dalam PRK Dewan Undangan Negeri Galas, yang menjadi perhatian bukannya calon Umno atau PAS tetapi ketokohan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Ahli Parlimen Gua Musang sejak 1974 (ketika itu Parlimen Hulu Kelantan). Beliau juga kali pertama menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelantan Barat pada 1969.

Dalam pilihan raya umum 2008, Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li mendapat undi selesa di ketiga-tiga DUN dalam kawasan parlimennya termasuk Galas walau pun kurang sedikit dari pencabarnya yang mewakili PAS.

Difahamkan, PAS menang di kubu kuat Ku Li di Galas berikutan sentiment pengundi Cina yang merupakan 20 peratus dari jumlah keseluruhan pengundi DUN berkenaan telah berpakat untuk menolak Umno dan Barisan Nasional pada 2008.

Kali itu keadaannya berbeza sedikit kerana Ku Li sejak 2008 lebih memaparkan jiwa dan suara Malaysia berbanding keMelayuan yang sempit. Mungkin pengundi Cina sudah kembali sejuk hati mereka.

Difahamkan, ada kalangan pemimpin Umno yang mahu melihat kejatuhan Ku Li melalui Galas. Congakan politik mereka mudah — kalau Umno kalah, Ku Li yang telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya di Galas akan dipersalahkan; kalau Umno menang, ia tidak akan dianggap kejayaan Ku Li, sebaliknya akan dijadikan bahan kempen parti untuk memperlihatkan populariti Umno kembali semula.

Dengan itu, PRK Galas lebih merupakan medan perjuangan politik Ku Li, sama ada beliau tetap relevan atau semakin ditelan usia. Tokoh besar putera Kelantan itu sekarang itu tidak diberikan apa-apa jawatan penting dalam parti, sama ada di peringkat negeri atau Pusat.

Pendekatan sederhana yang dibawa beliau dalam PRK Galas mungkin dapat mengembalikan kerusi DUN itu; tidak semestinya sebagai kemenangan kepada Umno tetapi lebih kepada Ku Li sendiri.

Memang calon PAS Dr Zulkefli Mohamad dan BN Abdul Aziz Yusof, kedua-duanya orang Gua Musang, yang mencuba nasib tetapi mereka bertanding di bawah bayang-bayang Ku Li. Malah, ramai juga orang PAS yang sayang dan hormat dengannya.

Lagi pula, Ku Li dan beberapa rakan Umno di Kelantan telah berdiri bersama kerajaan negeri Pakatan Kelantan dalam usaha mendapatkan hak royalti minyak yang dinafikan oleh Kerajaan Pusat sejak penemuan petroleum dan gas di perairan negeri itu.

Yang boleh menjejaskan usaha Ku Li adalah anasir-anasir tertentu dari Umno yang membusukkan kempen sederhana yang cuba dibawakannya. Maki hamun dan fitnah dari kumpulan ini tidak akan membantu Ku Li menyejukkan hati pengundi Cina, malah menjauhkan Melayu yang sudah agak selesa dengan PAS.

Daripada keseluruhan 45 kerusi DUN, Pakatan Rakyat di Kelantan menguasai 39 kerusi manakala Umno-BN 6 kerusi.

Dalam PRK Parlimen Baru Sapi pula, ia lebih menumpukan kepada usaha orang lama di Sabah Datuk Yong Teck Lee untuk kembali aktif dalam politik arus perdana.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu yang pernah menjadi Ketua Menteri bergilir pada akhir 1990-an telah dilarang oleh mahkamah daripada bertanding atas tuduhan menggunakan pengundi hantu untuk menang pilihan raya 1999.

Walau pun dibenarkan bertanding pada 2008, beliau telah menarik diri berikutan BN tidak memberi ruang kepada SAPP untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Kinabalu. DAP menang tipis di kerusi berkenaan setelah undi calon BN dari Parti Bersatu Sabah, Parti Keadilan Rakyat dan Bebas berpecah.

Yong mengejutkan politik negara apabila membawa keluar SAPP dari BN selepas PRU 2008 atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menerajui BN pada masa itu. Sama ada beliau sekarang percaya kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, itu sedang menjadi topik perbahasan hebat di kedai-kedai kopi di Batu Sapi.

Ahli politik dari Kota Kinabalu itu kini berdepan dengan calon PBS Datin Linda Tsen, balu Datuk Edmund Chong yang dikatakan popular bukan sahaja di Batu Sapi tetapi juga di Sabah.

Yong juga terpaksa menghadapi cabaran Ansari Abdullah, calon Parti Keadilan Rakyat, yang cuba meraih undi daripada pengundi Muslim, hampir 60 peratus jumlah pengundi di Batu Sapi.

Congakan awal PKR adalah meletakkan calon beragama Islam untuk memujuk pengundi Muslim di samping mengharapkan kerapuhan perpaduan antara komponen BN Sabah akan memberi kelebihan kepada parti itu.

Dalam pertandingan satu lawan satu, calon PBS mungkin ditikam belakang dari komponen-komponen BN yang lain. Kebanyakan pemimpin BN Sabah hari ini termasuk Yong berasal dari parti yang sama PBS yang telah berpecah membentuk pelbagai parti apabila ditawarkan jawatan untuk melompat masuk BN pada pertengahan 1990-an.

Di Batu Sapi sekarang, apabila SAPP turut bertanding, para pemimpin saingan PBS yang turut merupakan musuh-musuh politik Yong kembali bertaut di bawah panji-panji BN. Mereka lebih rela membantu PBS daripada Yong. Ini memberatkan tugas PKR.

Satu lagi tekanan PKR adalah pemilihan parti yang sedang diadakan sekarang. Ia sengit serta bersifat serangan peribadi. Kumpulan-kumpulan yang bersaing dalam PKR tidak dapat bertentang muka. Ini menyukarkan kempen bersepadu.

Sudah tentu undi akan berpecah tetapi hala tuju belum jelas setakat ini. Jika sentimen kaum tidak terlalu besar, BN mungkin mengekalkan kerusinya. Jika pengundi memilih agama, PKR mempunyai peluang. Namun, jika kempen kenegerian mengutamakan Sabah yang dibangkitkan oleh SAPP memberi kesan kepada pengundi, BN dan PKR pula yang akan merasai tekanan perit.

Bagi Yong, para penyokongnya mungkin menganggap ia cuma satu permulaan untuk kembali aktif. Jika tewas sekali pun, beliau dijangka kembali ke Kota Kinabalu untuk mencari jalan merampas semula kerusi yang pernah dikuasainya, sama ada di peringkat Parlimen atau DUN, dalam PRU akan datang.

Tetapi musuh-musuh politiknya tahu bahawa jika beliau tewas, ia akan menjadi benih berakhirnya era politik Yong di Sabah.

Ini adalah PRK pertama untuk Sabah. Di negeri jiran Sarawak, PRK Parlimen Sibu telah mengejutkan BN apabila DAP menang pada Mei lalu. Keputusan itu memperlihatkan perubahan sikap di kalangan pengundi Sarawak pasca-2008; dalam PRU 2008, pengundi Sarawak dan Sabah telah memberi sokongan padu kepada BN.

Daripada keseluruhan 25 kerusi Parlimen di Sabah, BN menguasai 22 kerusi manakala SAPP 2 (yang dimenangi atas tiket BN) dan DAP 1.

Pengundian bagi kedua-dua PRK itu adalah pada Khamis 4 November ini.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Wan Hamidi is a veteran journalist who has a penchant for rock music.

No comments

Powered by Blogger.