KTM Komuter Lanjut Servis Sempena Perlawanan Akhir Piala Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi laluan ke Seremban, Rawang dan Pelabuhan Klang akan dilanjutkan operasinya sempena perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

KTMB berkata bagi memenuhi kehendak penyokong pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan yang akan berentap pada perlawanan akhir itu, enam tren tambahan akan disediakan yang akan mula beroperasi selepas waktu operasi biasa perkhidmaatn KTM Komuter di tiga laluan tersebut.

"Para penyokong Kelantan dan Negeri Sembilan boleh menaiki perkhidmatan KTM Komuter dari mana-mana stesen ke Stesen Bandar Tasik Selatan dan membuat pertukaran tren Rapid KL untuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil," kata kenyataan KTMB pada Khamis.

Untuk perkhidmatan KTM Komuter ke laluan Seremban, jadual tren terakhir dari Stesen Bandar Tasik Selatan ialah pada pukul 1.03 pagi manakala ke laluan Rawang, jadual tren terakhir ialah pada pukul 12.48 pagi.

Bagi laluan ke Pelabuhan Klang pula, tren tambahan terakhir akan berlepas pada pukul 12.26 pagi dari Stesen KL Sentral.

Mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan KTM Komuter dinasihatkan supaya membeli tiket perjalanan dua hala bagi melancarkan perjalanan pulang mereka.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi pusat panggilan KTM Bhd di talian 1-300-88-5852 atau datang ke stesen KTM Komuter yang berdekatan.

No comments

Powered by Blogger.