Kenyataan Akhbar Persatuan Peguam Muslim Malaysia Berkaitan Hub Hiburan

KENYATAAN AKHBAR: PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mahu menjadikan Malaysia
sebagai hub hiburan malam amat mengecewakan umat Islam arusperdana.
Setelah Festival Fesyen Islam yang mencetus polemik penghinaan kepada
agama Islam dan umat Islam di Malaysia, kedudukan Islam dan umat Islam
dilihat seolah-olah terus diganyang oleh pihak Kerajaan. Program ini
amat bertentangan dengan ikrar Perdana Menteri baru baru ini yang
mengatakan hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam di Malaysia
tidak perlu dipersoalkan lagi kerana ia terkunci kemas dan terpateri
di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah menurut Perdana Menteri kunci tersebut disimpan selamat oleh
Raja Raja Melayu yang telah berikrar memelihara Islam pada setiap masa
seperti yang terdapat di dalam Jadual Keempat Perlembagaan
Persekutuan.

Menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan malam ada suatu cubaan untuk
menanam budaya asing di bumi Malaysia. Malah ianya tidak selari dengan
semangat Perlembagaan Persekutuan yang berteraskan Islam serta prinsip
Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Rakyat Malaysia khususnya orang Islam telah disogok dengan pelbagai
rancangan hiburan di dalam media elektronik dan bukan elektronik.
Sekarang budaya berhibur inimahu ditambahkan lagi dengan konsert-
konsert dan pertunjukan yang langsung tidak mencerminkan budaya
masyarakat timur. Berpeleseran di waktu malam hanya akan mengundang
lebih banyak keburukan dari kebaikan. Dengan kadar jenayah seperti
pembunuhan, rogol dan pembuangan bayi yang semakin meningkat,
kehadiran hub hiburan malam hanya akan menambahkan lagi statistik
jenayah ini sahaja.

Pelaksanaan undang-undang jenayah juga telah gagal menjadi factor
mengurangkan kadar jenayah di dalam negara kerana undang-undang
tersebut tidak menekankan aspek pencegahan dan naluri kerohanian
masyarakat negara.

Dengan membudayakan hub hiburan ini sudah pasti masyarakat Malaysia
akan terus pincang dengan kebejatan akhlak dan moral khususnya di
kalangan muda-mudi.

Kekayaan ekonomi negara sendiri akan punah sekiranya rakyat hanya mahu
berhibur dan tidak berusaha sepenuhnya mencapai kejayaan.

Tindakan kerajaan ini dilihat sebagai cuba mendekati masyarakat bukan
Islam dan masyarakat liberal tetapi mengenepikan kehendak masyarakat
Islam arusperdana yang merupakan majoriti rakyat Malaysia.

PPMM dengan tegas mendesak Perdana Menteri menarik balik Program ETP
tersebut dan menghormati kedudukan agama Islam di sisi Perlembagaan
Persekutuan. DYMM Yang Di Pertuan Agong juga mempunyai obligasi
beperlembagaan (constitutional obligation) pada setiap masa bagi
memelihara Islam dan tatabudaya orang Melayu. PPMM juga merafak
sembah kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong agar mempertahankan jatidiri
kebangsaan yang berteraskan kepada Islam di dalam setiap tindakan
kerajaan.

Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Bertarikh pada 27hb Oktober 2010

No comments

Powered by Blogger.