JKM Kunci, Arah Henti Operasi Pusat Jagaan Pesakit Mental Di PJ

PETALING JAYA, 27 Okt (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rabu mengunci (seal) Pusat Jagaan Rumah Bahagia di Seksyen 18 di sini berikutan seorang lelaki OKU (orang kurang upaya) ditemui mati.

Pusat itu tidak didaftarkan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata beliau telah mengarahkan JKM menghentikan operasi rumah kebajikan itu yang memberi perkhidmatan jagaan khusus kepada mereka yang mengalami penyakit kecelaruan mental seperti schizophrenia, bipolar disorder dan kemurungan.

"Kita akan seal dan beri mereka (pusat itu) tempoh tiga hari untuk buat persiapan tutup tempat ini.

"Kita ada minimum standard yang perlu mereka ikuti, apatah lagi keselamatan kepada penghuni-penghuni pusat jagaan ini tidak boleh kita kompromi, kita tidak boleh tangkap muat sesiapa sahaja yang boleh jaga OKU," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat tersebut.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur, Ketua Pengarah JKM Datuk Meme Zainal Rashid dan Pengarah JKM Selangor Adnan Abu Bakar.

Seorang lelaki OKU, Brian Goh Kah Heng, 19, yang baru lima bulan tinggal di rumah kebajikan itu mati selepas mengalami pendarahan teruk di kepala dipercayai akibat dipukul Ahad lepas.

Remaja itu ditemui tidak sedarkan diri di rumah kebajikan itu sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Dia disahkan meninggal dunia pagi Isnin.

Shahrizat berkata JKM akan mengambil alih jagaan 18 penghuni yang masih ada di rumah kebajikan berkenaan.

Bagi penghuni yang tidak mempunyai keluarga, mereka akan ditempatkan di institusi-institusi kebajikan yang bersesuaian di bawah JKM.

"Kita akan bagi notis kepada keluarga untuk datang ambil, tetapi bagi keluarga atau ibu bapa mereka yang tidak mahu mengambil mereka balik, JKM akan ambil dan mereka duduk di institusi kita," katanya.

Beliau juga akan berbincang dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bagi mendapatkan pandangan tempat penempatan yang sesuai untuk penghuni-penghuni yang menghidap penyakit mental itu.

"Kes-kes mental sebenarnya adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Kesihatan sebab kita tiada kepakaran, yang mana OKU yang ada JKM akan tempatkan di salah satu daripada institusi kita, untuk kes-kes mental, kita akan rujuk pada Kementerian Kesihatan untuk letak kes-kes ini di hospital," katanya.

Beliau berkata (pengendali) rumah kebajikan tersebut boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.

No comments

Powered by Blogger.