Saifuddin: JPP tidak memihak kepada Adun, ahli parlimen

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bersikap berat sebelah iaitu menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau ahli parlimen.

Menurut Saifuddin, jika dakwaan itu benar maka Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, Lim Soo Nee (Kulim) dan Ahli Parlimen Telok Kemang Datuk Kamarul Bahrin Abbas tidak akan kalah.

Maka secara realitinya, dakwaan itu tidak benar kerana masih ada wakil rakyat yang kalah.

"Kita ada mendengar dakwaan itu, jika ia benar maka wakil rakyat Telok Kemang, Bukit Lanjan, Kulim atau pemimpin senior seperti Mustaffa Kamil Ayub tidak akan kalah kerana JPP akan tolong mereka.

"Namun antara dakwaan dan realiti yang berlaku berbeza. Ada wakil rakyat yang menang dan kalah. Maka dakwaan ini secara sendirinya ditolak," katanya

Saifuddin turut menafikan kekacauan yang berlaku di beberapa cabang (Selangor) semalam didalangi oleh golongan tertentu dalam PKR.

Pada masa yang sama Saifuddin turut mengulas mengenai bantahan awal di cabang Pasir Salak yang dibuat oleh Mustaffa Kamil Ayub pada 5 September lalu.

"Daripada 176 aduan yang kita terima minggu lepas, satu daripadanya telah diselesaikan dengan kita menolak bantahan itu.

"JPP mendapati resit bayaran itu ada dan masalah itu telah ditangani sebelum berlangsungnya pemilihan cabang sabtu lalu," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Machang.

FMT sebelum ini melaporkan Setiausaha PKR Perak, Anuar Zakaria, mendakwa pencadang dan penyokong Ketua Cabang Pasir Salak Osman Abdul Rahman tidak membayar yuran pencalonan.

Osman, bekas pengerusi PKR Perak Sabtu lalu mengalahkan Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub untuk jawatan ketua cabang Pasir Salak.

Osman mendapat 111 undi manakala Mustaffa 99 undi, majoriti 17 undi.

Sementara itu, dengan nada gurauan Saifuddin berkata walaupun beliau kini layak bertanding jawatan naib presiden namun pencalonan bagi jawatan yang ingin ditandinginya masih belum mencukupi.

"Pencalonan untuk jawatan yang saya mahu bertanding masih belum cukup…yang cukup naib presiden tapi saya tidak mahu bertanding naib," katanya bergurau.

Saifuddin menerima dua pencalonan sekaligus melayakkannya bertanding jawatan naib presiden daripada cabang Wangsa Maju dan Segambut, masing-masing dari Wilayah Persekutuan

No comments

Powered by Blogger.