Nurul Izzah Mahu Terbit Akhbar Bagi Lembah Pantai

Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM 29 Ogos - Kegagalan Kementerian Dalam Negeri memperbaharui permit penerbitan lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memaksa Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menerbitkan akhbar beliau sendiri bagi menyampaikan berita serta maklumat berhubung aktiviti beliau serta isu semasa di kawasan parlimennya.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, Nurul Izzah memberitahu pihaknya belum lagi memutuskan nama akhbar yang bakal diterbitkan tetapi beliau akan membuat permohonan di KDN, Putrajaya esok pada pukul 12.00 tengahari.

"Memandangkan akhbar rasmi KEADILAN, Suara Keadilan berhadapan dengan halangan daripada KDN yang masih belum memperbaharui permit, maka satu alternatif difikirkan perlu agar masyarakat terutamanya di kawasan saya dapat bekalan maklumat dan berita terbaru berkenaan aktiviti saya sebagai ahli parlimen dan juga program yang diadakan oleh KEADILAN," kata Nurul Izzah.

Permit penerbitan Suara Keadilan tamat tempoh pada 30 Jun lalu dan sehingga pihak KDN mahupun Menteri tidak mengambil sebarang tindakan untuk memperbaharuinya.

Dua akhbar rasmi Pakatan Rakyat, Harakah yang dimiliki PAS menerima pembaharuan permitnya pada 15 Julai lalu sementara akhbar rasmi DAP, The Rocket versi Bahasa Inggeris dan Cina pada 19 Ogos lepas.

No comments

Powered by Blogger.