Merdeka 53: Membudayakan Demokrasi

SHAH ALAM 31 Ogos - Sambutan menyambut kemerdekaan negara ke-53 tahun ini telah dicemari serta dinodai tindakan Umno-Barisan Nasional yang memainkan sentimen perkauman saban hari melalui media di bawah kawalannya sehingga menyebabkan keadaan gelisah dengan tujuan membangkitkan kemarahan rakyat.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata justeru itu tema perayaan menyambut kemerdekaan pada 2010 seharusnya dimaknakan dengan pembudayaan demokrasi dan pembebasan diri daripada sebarang polemik perkauman dan agama yang mengkal.

"Tetapi ini tidak berlaku di bawah Umno-BN, memperlihatkan bagaimana media saban hari memuatkan perihal isu-isu sempit yang nyata mengelirukan rakyat.

"Sistem politik negara yang menjadi akar kepada pembangunan negara terus dilacur dengan sentimen agama dan perkauman yang busuk lagi membusukkan, dengan mengapi-apikan sentimen di kalangan rakyat pelbagai kaum tanpa memikirkan impak kepada masa depan negara," kata Shamsul dalam mesej beliau sempena Hari Kemerdekaan ke-53 hari ini.

Tegas Shamsul setelah melangkah ke usia 53 tahun sewajarnya Malaysia telah digarap menjadi sebuah negara yang merdeka sebenar-benar merdeka daripada sebarang kepompong politik usang dan rakus.

Daam konteks ini beliau mengingatkan kembali peranan penting golongan muda untuk membawa perubahan kritikal kepada kerangka politik negara yang kini didominasi oleh kebobrokan sistem pentadbiran Umno-BN yang pincang dan menyeleweng.

"Tidak ada maknanya merdeka jika generasi muda masih dipasung mindanya, tanpa pendedahan kepada muafakat dan musyawarah dalam kepelbagaian. Dan semoga tahun 2010 ini memberi makna baru kemerdekaan negara, sebagaimana yang dilaung oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman lewat Pemasyhuran Kemerdekaan 53 tahun yang lampau.

"Dewasa ini kita dipertontonkan dengan pudar dan lunturnya semangat kemerdekaan dan pemahaman makna merdeka di kalangan generasi pasca merdeka. Maka yang terus dipersalahkan ialah generasi muda, tanpa sesekali kalangan penguasa melihat betapa lompongnya sistem politik, ekonomi dan sosial yang tidak jauh bezanya daripada zaman kolonial dahulu," ujar beliau.

Shamsul juga menyeru menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut dalam bulan Ramadhan Al Mubarak dijadikan sebagai penguat semangat dan iltizam untuk terus berjuang menegakkan prinsip keadilan, ketelusan dan keharmonian kaum .

"2010 menyaksikan ulangtahun kemerdekaan Malaysia disambut di dalam barakah Ramadhan al-Mubarak, bulan di mana umat Islam melalui proses penyucian diri dengan berjuang melawan hawa nafsu daripada membungkam diri dan jiwa. Perkaitan signifikan Ramadhan al-mubarak dan kemerdekaan ini harus digabung-jalin, bagaimana roh kemerdekaan itu harus dikecap dengan menghindarkan negara dan rakyat daripada sebarang bentuk penindasan luar dan dalam.

"Salam kemerdekaan daripada seluruh kepimpinan dan keluarga besar Angkatan Muda KEADILAN Malaysia buat seluruh rakyat dan generasi muda Malaysia. Ayuh kita singkap makna merdeka, kita pupuk jiwa merdeka, yang sebenar-benarnya merdeka!" kata Shamsul lagi.

No comments

Powered by Blogger.