Masjid dan surau perlu rujuk majlis agama untuk benarkan bukan Islam masuk

YAN, 28 Ogos — Jawatankuasa masjid atau surau diminta merujuk kepada majlis agama Islam negeri-negeri dalam soal membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengelirukan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata setiap negeri mempunyai panduan masing-masing dalam soal itu dan jawatankuasa atau pengurusan masjid perlu mematuhi panduan tersebut dan tidak sepatutnya sewenang-wenangnya membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid terutama di ruang solat.

Katanya rumah ibadat agama lain pun, mereka mempunyai garis panduan dalam membenarkan penganut agama lain memasuki tempat ibadat mereka.

“Kita tiada masalah untuk penganut agama lain masuk ke masjid atau surau. Ada masjid-masjid kita benarkan pelancong bukan Islam masuk tetapi kita sediakan garis panduan seperti yang wanita kena menutup kepala dan sebagainya.

“Kalau nak bawa masuk bukan Islam kenalah minta kebenaran majlis agama Islam negeri-negeri. Orang bukan Islam pun kenalah hormat dengan tempat ibadat umat Islam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat kepada fakir miskin di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar semalam mengenai Anggota Parlimen Serdang Teo Nie Ching dari DAP yang memasuki ruang solat utama Surau Al-Huda, Kajang Sentral Ahad lepas untuk memberi “tazkirah”, tanpa menutup kepala.

Jamil Khir berkata isu yang berlaku di Kajang itu tidak sepatutnya timbul jika jawatankuasa surau berkenaan merujuk kepada majlis agama Islam negeri dan memahami garis panduannya.

“Hal-hal seperti ini boleh diselesaikan dengan perbincangan antara jawatankuasa masjid atau surau dengan majlis agama Islam negeri. Apa yang penting mereka kena maklumkan,” katanya.

Beliau berkata perkara itu juga menjadi satu isu kerana tidak sepatutnya perkara politik dibawa masuk ke dalam masjid. — Bernama


ppuuihhh.....kalau pasal umno semua halal!

No comments

Powered by Blogger.