Legenda bola sepak Isa Bakar meninggal dunia

GEORGE TOWN, 28 Ogos — Bekas legenda bola sepak negara Isa Bakar meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pagi tadi setelah mengalami batuk berdarah yang teruk.

Beliau atau nama sebenarnya Isa Abu Bakar, 58, meninggal kira-kira 9.40 pagi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan petang ini di tanah perkuburan Jalan Perak.

Yang turut menziarahi jenazah beliau di rumahnya di Sungai Ara ialah bekas rakan-rakan sepasukan negara seperti Datuk Soh Chin Aun, Shukor Salleh, Santokh Singh dan Abdah Alif.

Allahyarham meninggalkan isteri, Mazlina Md Ismail, tiga anak perempuan — Nur Kamalia, 19, Nur Liyana 21, Nur Aishah — dan seorang anak lelaki Muhd Firdhaus, 16.

Menurut Mazlina, Isa dimasukkan ke sebuah hospital swasta sejak Khamis lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.

“Kami tidak menyangka dia akan meninggalkan kami kerana kami berbual-bual elok malam tadi dan dia masih sihat, tetapi dia tiba-tiba meninggal pagi ini,” katanya.

Semasa zaman kegemilangannya, Isa selaku penyerang berbisa pernah membantu pasukan kebangsaan memenangi pingat gangsa dalam acara bola sepak di Sukan Asia Tehran pada 1974.

Beliau yang merupakan penyerang yang sentiasa digeruni lawan juga membantu pasukan negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1977, setelah membelasah Burma (kini Myanmar) 8-1.

Allahyarham merupakan penyerang berkaliber bersama gandingan seorang lagi legenda iaitu Allahyarham Mokhtar Dahari sekitar tahun 1970-an.

Dalam persada bola sepak Malaysia, beliau sentiasa menjulang nama Pulau Pinang bersama abangnya Ali Bakar dan pernah membantu pasukan negeri itu menjulang Piala Malaysia pada 1974.

Isa mula menggilap bakatnya pada peringkat kelab dengan mewakili Malayawata, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan seterusnya Telekom Utara.

Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar bagi dunia bola sepak negara.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Allahyarham sebagai seorang bintang yang pernah menyinari persada sukan bola sepak negara pada era 1970-an.

“Jasanya tetap akan kita kenang dan semoga rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman oleh Allah SWT,” katanya.

Beliau turut merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, K. Rajagobal berkata pemergian Isa merupakan peristiwa sedih kepada negara di mana kehadirannya satu masa dahulu telah memberi impak besar kepada arena bola sepak negara.

“Kita kehilangan salah seorang personaliti bola sepak veteran tempatan kerana dahulunya cara mereka (pemain veteran negara) bermain mempunyai perbezaan (dengan pemain sekarang) serta karektor permainan yang tersendiri dalam

mencorakkan sesebuah perlawanan,” katanya.

Bekas pemain bola sepak negara era 1990-an, Dollah Salleh berkata satu ciri perwatakan yang tidak dapat dilupakan tentang Isa ialah misai tebalnya dan sikapnya yang suka berjenaka dengan teman-teman.

“Saya mengenali beliau ketika perlawanan persahabatan bola sepak veteran antara negeri. Oleh kerana beliau veteran, saya memanggil beliau dengan membahasakannya sebagai abang.

“Ada saja cerita yang akan dibualkannya dan beliau sering menceriakan keadaan,” katanya. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.