Khalid Gesa Rakyat Julang Maruah Negara

SHAH ALAM 31 Ogos — Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata rakyat perlu sedar dan memahami erti kemerdekaan berteraskan prinsip kebebasan dan keadilan.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-53, beliau menyeru rakyat berikrar untuk memperbaiki diri demi menjulang maruah negara.

“Sejarah sudah cukup membentangkan banyak pengalaman tentang jatuh bangun peradaban dan ketamadunan untuk kita jadikan teladan bersama.

“Ia tidak ada pada semangat yang membabi buta, tetapi ada pada keinginan kuat manusia untuk menegakkan kemulian insan melalui jaminan kebebasan dan daya untuk mencapai keadilan.

“Inilah sebuah negara dan masyarakat madani yang harus kita laksanakan," kata beliau dalam mesej Hari Merdeka.

Abdul Khalid berkata rakyat juga perlu mengakui wujud pelbagai bentuk usaha dalam mencapai kemerdekaan negara.

“Sama ada kita bersetuju atau tidak, kita perlu menerima cita-cita dan kaedah perjuangan yang di bawa.

“Kemerdekaan adalah cita-cita besar rakyat pada zaman itu. Terlepas apa juga perbezaan dalam realiti jamak sosio-masyarakat kita, Merdeka adalah lambang sebuah keberanian kita untuk mengambil tanggungjawab terhadap negara sendiri,” ujar Khalid lagi.

No comments

Powered by Blogger.