Anwar Ke Sarawak Untuk Lawatan Kerja Hari Ini Dan Esok

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM 31 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan siri jelajah Sarawak dalam lawatan kerjanya bermula hari ini.

Penyelaras politiknya, Abd Rahman Yusof berkata, program lawatan Anwar akan bermula di Limbang dan Lawas dengan perjumpaan bersama masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri N68, Bukit Kota di Pekan Limbang pada pukul 11.30 pagi.

"Kemudian Datuk Seri Anwar akan ke kawasan Dewan Undangan Negeri N70 Bakelalan, di Lun Bawang untuk bertemu orang ramai pada jam 2.00 petang," kata Abd Rahman yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman.

Ketua Umum KEADILAN mempunyai jadual lawatan kerja yang ketat selepas perjumpaan di Bakelalan yang disusuli majlis bertemu rakyat pada pukul 3.00 petang di Lawas, sekaligus merasmikan Pejabat Khidmat P222 Lawas, di kawasan N71 Bukit Sari.

"Ketua Umum akan turut menghadiri majlis berbuka puasa di Restoran Musbee bersama Jawatankuasa Pakatan Rakyat Limbang/Lawas. Beliau kemudiannya akan menunaikan solat Isyak dan solat Tarawikh di Masjid Bahagian Limbang," kata Abd Rahman dalam kenyataannya.

Pada keesokan hari Anwar akan berkunjung ke bandaraya Kuching dengan mengadakan pertemuan bersama pimpinan KEADILAN Sarawak di Hotel Grand Continental pada pukul 2.00 petang.

"Beliau akan turut merasmikan mesyuarat Biro Politik Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sarawak, dan satu sidang media akan diadakan pada jam 4.30 petang di tempat yang sama.

"Selepas itu, Datuk Seri Anwar akan berbuka puasa di Rumah Datuk Hajah Hafsah Harun, di N6 Tupong. Beliau kemudiannya akan Masjid Kampung Pinang Jawa, Kuching untuk menunaikan solat Isyak dan solat Tarawikh," jelasnya.

Lawatan kerja Ketua Pembangkang dilihat sebagai mengeratkan lagi kerjasam antara pimpinan KEADILAN Pusat dengan pimpinan parti peringkat negeri terutamanya menjelang pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka tidak lama lagi.

No comments

Powered by Blogger.