Pengusaha pasir Melayu Selangor setuju isu pasir tidak dipolitik

SHAH ALAM, 29 Jul – Pejabat Menteri Besar Selangor dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengadakan dialog dengan Jawatankuasa Bertindak Pengusaha-pengusaha Pasir Melayu Selangor (JBPPPMS) berhubung isu perlombongan pasir.

Sesi dialog ini diadakan di Pejabat Menteri Besar semalam dihadiri Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin manakala KSSB diwakili Pengerusinya, Shukor Nagor, Ahli Lembaga Pengarah, Shuhaimi Shafie, Pengarah, Mohd Khairudin Othman dan Pengarah Eksekutif, Ir Ramli Majed,Pengerusi JBPPPMS, Tengku Datuk Shaiffuliazan Tengku Zainal Abidin telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas sesi dialog berakhir yang diserahkan kepada Faekah.

Faekah memberi jaminan kepada JBPPPMS akan melihat secara serius cadangan yang diutarakan dan akan memberi maklum balas dalam tempoh dua minggu.

Pertemuan ini diharapkan dapat menyelesaikan beberapa isu hangat sebelum ini yang mungkin diakibatkan oleh salah faham dan salah maklumat. Kerajaan Negeri dan KSSB berterima kasih kepada JBPPPMS atas cadangan dan kritikan. Pada masa yang sama JBPPPMS menyatakan rasa penghargaan mereka kerana kesudian Pejabat Menteri Besar menerima mereka.

Kerajaan Negeri dan JBPPPMS juga sepakat bahawa isu pasir ini tidak perlu dipolitikkan sehingga mengelirukan rakyat dan mendatangkan kebimbangan di kalangan pelabur asing serta tempatan.
Kedua-dua pihak juga setuju untuk bekerja sama bagi memastikan perlombongan pasir di Selangor dijalankan secara betul dan adil supaya hasilnya dapat dimanfaatkan semua rakyat.



[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.