Ku Li: Ubah BN, Pakatan parti pelbagai kaum dengan keahlian terus

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani


KUALA LUMPUR, 31 Julai — Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menggesa agar Barisan Nasional (BN) berubah sebagai parti pelbagai kaum menerusi status keahlian terus.

Beliau yakin jika BN mengambil langkah itu Pakatan Rakyat (PR), yang dibentuk dua tahun lalu selepas keputusan pilihan raya umum ke-12 akan menyusul.

Pemimpin veteran itu berkata rakyat wajar mengetepikan politik berimejkan perwakilan kaum jika mahu negara ini serius dalam penerimaan slogan 1 Malaysia.

“Jadi, jika serius dengan slogan 1 Malaysia, tukar Barisan Nasional menjadi sebuah parti yang terbuka kepada semua warganegara. Ubah ia sebagai parti pelbagai kaum dengan menjadikan keanggotaan langsung,” katanya.

Dengan mengambil tindakan itu, kata beliau PR juga akan dipaksa berbuat demikian kerana jika tidak, ia akan ketinggalan.

“Kemudian kita patut ada laluan kepada sistem dua parti bukan berasaskan kaum,” kata Ahli Parlimen Gua Musang ini pada Sidang Kemuncak Tahunan Kepimpinan Pelajar Malaysia Keempat di sini.

No comments

Powered by Blogger.