Kembali kepada perjuangan politik beragama

Ismail Hashim

SEREMBAN, 27 Julai: Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar (gambar) menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan segera mengajak semua pimpinan Umno agar kembali mengambil Islam sebagai dasar perjuangan politik.

Menurutnya, hanya dengan kesediaan itu sahaja semua proses untuk mengajak seluruh umat Islam Melayu di negara ini bersatu akan dapat dilakukan secara lebih berkesan dan menyeluruh.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohamad, dua hari lalu yang menyatakan proses penyatuan antara PAS dan Umno tidak akan dapat dilakukan kerana kedua-dua parti itu berbeza dasar perjuangan.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, sudah sampai masanya pimpinan Umno meninggalkan cara politik penjajah yang memisahkan antara kefarduan agama dengan semua kegiatan kehidupan seharian.

“Sewajarnya Mohamad yang telah mempunyai kesedaran sebaik itu hendaklah segera mengajak rakan-rakan pimpinan lain di dalan Umno khususnya untuk kembali kepada tuntutan perjuangan politik beragama.

“Isu penyatuan umat Islam Melayu di negara ini tidak akan berlaku dan selesai selagi mana pimpinan kedua-dua parti tidak mahu bersatu menurut kehendak ajaran agama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi akhir zaman.

“Umno khususnya hanya membawa perpecahan kepada umat Islam di negara ini lantaran memisahkan antara keperluan kehidupan beragama dalam setiap kegiatan harian termasuk politik memerintah negara, ekonomi dan sebagainya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Munaqasyah Ucapan Presiden sempena Muktamar ke-56 peringkat Negeri Sembilan telah berjaya diadakan pada 25 Julai dengan pembentangan kertas kerja Islam Adil Untuk Semua oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Zulkefly berkata, dengan penyertaan seluruh pimpinan parti dari semua kawasan memberikan keyakinan baharu untuk PAS Negeri Sembilan mendepani cabaran perjuangan mendatang.

“Jelas dengan penegasan dari Timbalan Presiden dengan sambutan dari pimpinan semua kawasan termasuk berikrar menyediakan kelengkapan menyertai Pilihan Raya Umum ke-13 dengan penuh persediaan serapinya,” ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.