Harussani dedah ada bertemu pemimpin PAS selain Hasan Ali


Oleh Adib Zalkapli dan Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 28 Julai — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mendedahkan adanya pemimpin-pemimpin PAS selain Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang menemuinya bagi membincangkan perpaduan Melayu.

Harussani bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pemimpin tersebut bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

“Saya sebut Hasan sebab beliau mengakui sendiri jumpa saya, sebab itu saya boleh cakap,” katanya.

“Kebetulan beliau ahli PAS, ada juga ahli Umno datang jumpa saya berbincang soal ini. Mereka tanya jalan penyelesaian perpecahan orang Melayu.

“Yang lain saya tidak mahu cakap, nanti mereka bergaduh sesama sendiri pula.

“Sebelum ini pun saya cuma kata ada orang PAS jumpa saya, ada orang Umno dan ada juga NGO jumpa saya, itu sahaja. Jadi kalau anda hendak korek usahlah nak korek,” katanya ketika ditemui dalam sesi temu bual khas bersama The Malaysian Insider semalam.

Beliau berkata ada banyak pihak datang menemuinya bagi membincangkan akan perkara itu.

“Saya tidak tahu kenapa mereka datang cari saya, mungkin sebab saya paling lantang bercakap?” kata Harussani.

Sebelum ini Harussani berkata beliau hanya mengadakan pertemuan dengan seorang pemimpin dari PAS iaitu Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Hasan membuat kenyataan pengakuan terbuka Sabtu lalu.

Bahkan Harussani menjelaskan, kedua-dua mereka tidak membincangkan kerjasama politik Umno dan PAS tetapi mengenai perpaduan Melayu.

“Kami hanya membincangkan soal bagaimana untuk mencari jalan penyelesaian menyatukan perpaduan di kalangan orang Melayu, itu sahaja.

“Langsung tidak menyentuh soal kerjasama politik Umno dan PAS,” kata beliau.

Harussani berkata beliau hanya mahu menyatukan orang Melayu berlandaskan agama Islam.

“Ini bukan masalah Umno atau PAS tapi perpecahan orang Islam, jadi sebagai mufti saya rasa bertanggungjawab untuk untuk mengajak orang Melayu bersatu di bawah nama Islam memandangkan kita perlu mematuhi perintah Tuhan.

“Saya berpendapat perpecahan orang Melayu adalah akibat daripada perpecahan dalam parti iaitu Umno dan PAS.

“Perbezaan pendapat itu biasa berlaku, mengapa kita hendak menghancurkan bangsa sendiri hanya kerana ideologi yang berbeza? Sedangkan saya melihat matlamatnya sama iaitu mempertahankan orang Melayu dan juga Islam,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.