Guru dan politik

Oleh Syed Imran

Akibat berkurangnya sokongan orang Melayu,* maka dilonggarkan syarat dan dikendurkan larangan dalam Perintah-Perintah Am untuk membenarkan guru siswazah dalam gred tertentu aktif dalam politik. Langkah tersebut juga ada kaitan dengan, saya difahamkan, kedudukan dimana semakin bertambah guru, terutama guru Melayu, yang menyokong parti bukan UMNO.


* (Pemimpin UMNO akan cepat menyatakan bafhawa sokongan orang Melayu bertambah ekoran daripada bertambahnya ahli parti itu. Tetapi ia tidak melambangkan sokongan majoriti orang Melayu)

Ramai orang yang bertanya kenapa guru sahaja dan tidak mencakupi perkhidmatan awam yang lain?

Alasan yang diberikan adalah tugas guru tidak terlibat dalam tindakan-tindakan bercorak eksekutif yang berada di tangan pegawai tadbir (pegawai peringkat pengurusan yang dilarang berpolitik) yang memungkinkan mereka menyalahguna kuasa yang ada. Kita terima sajalah alasan tersebut kerana ada kebenarannya.

Walaubagaimanapun, kedudukan dan peranan guru sekarang tidak boleh disamakan dengan zaman tercetusnya semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu berikutan cadangan pembentukan MalayanUnion pada 1946. Ketika zaman itu, majoriti orang Melayu yang "berpelajaran" berkhidmat sebagai guru, kerani, posmen dan amat sedikit yang berjawatan tinggi. Oleh itu, kebanyakan "cerdik-pandai" peringkat pinggir bandar, kampung dan desa adalah guru dan merekalah yang berperanan selaku pemimpin.

Keadaan sudah berubah dan di kalangan orang Melayu sekarang sudah wujud golongan "terpelajar" dalam semua bidang termasuk perniagaan dan perdagangan, iaitu golongan yang disebut sebagai "orang korporat" walaupun istilah tersebut tidak tepat.

Kewujudan golongan elit Melayu sedikit sebanyak mengurangkan pengaruh dan peranan guru Melayu dalam politik, terutama politik UMNO dan ditambah pula dengan politik wang atau rasuah politik. Oleh itu, kita tidak boleh samakan peranan dan pengaruh guru semasa zaman tercetusnya semangat kebangsaan dan sebelum dan sedekad selepas Merdeka, dengan keadaan sekarang.

Jika UMNO berfikir yang dengan membenarkan guru siswazah aktif dalam politik akan menguntungkan perjuangan parti, mereka silap besar. Seperti yang saya sebutkan terdahulu, ramai guru yang tidak menyokong UMNO mahupun Barisan Nasional.

Seperkara lagi yang mungkin menimbulkan masalah dan ketegangan di peringkat sekolah mahupun Jabatan Pelajaran ialah wujudnya dua atau tiga puak yang berlainan fahaman dan sokongan politik di sesebuah sekolah mahupun Jabatn negeri. Sekarang keadaan tidak begitu ketara kerana ada larangan berpolitik, tetapi ia pasti berubah apabila politik dibenarkan.

Cuba bayangkan satu kedudukan di sebuah sekolah menengah, pengetua sokong UMNO, penolong kanan hal ehwal pelajar sokong PAS manakala penolong kanan yang seorang lagi berkecuali dan di kalangan guru siswazah yang mengajar di sekolah berkenaan pun ada yang sokong UMNO dan ada yang sokong parti bukan UMNO.

Mahu atau tidak, suka atau tidak, satu hari mereka akan bertelagah, bertengkar dan "berkelahi" di sekolah kerana berlainan fahaman dan sokongan politik. Apa yang akan terjadi kepada kemajuan pembelajaran dan pengajaran di sekolah? Siapa yang rugi?

Ya, mungkin pihak Kementerian Pelajaran atau Pejabat Ketua Setiausaha Negara akan berkata guru tidak boleh membawa politik ke sekolah, tetapi siapa yang nak kawal? Siapa yang nak larang atau sekat seseorang guru daripada mengulas mengenai sesuatu isu politik yang sama ada di sokong atau di bantah olehnya semasa dia berehat di bilik rehat guru? Siapa pula yang nak larang seorang guru lain yang berlainan fahaman dan sokongan politik daripada membuat ulasan balas? Keadaan tersebut sudah tentu menjurus kepada perdebatan hangat antara mereka dan mungkin ada guru lain yang masuk campur. Apa kesudahannya?

Kita akui bahawa sokongan dan keanggotaan dalam mana-mana parti politik adalah hak mutlak seseoraang warga negara tanpa mengira apa tugas, jawatan dan kedudukannya. Kita juga mengakui bahawa pelajaran dan pendidikan amat penting bagi sesebuah negara untuk maju dan terus maju. Ianya tiada tolak ansur.

Tetapi, kita tidak mahu melihat politik di bawa masuk ke dalam sekolah kerana ia pasti akan menganggu-gugat perjalanan pembelajaran dan pengajaran yang boleh menjejas penimbaan ilmu di kalangan anak bangsa

No comments

Powered by Blogger.