Elakkan Surat Sokongan Berunsur Perniagaan

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 29 Julai - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu semua pemimpin termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil rakyat dan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan agar mengelak daripada mengeluarkan surat sokongan yang berkaitan bagi mendapat peluang perniagaan.

Menurut beliau, surat sokongan bagi individu atau syarikat untuk mendapatkan kontrak perkhidmatan dan bekalan boleh menimbulkan konflik kepentingan serta menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Abdul Khalid menjelaskan surat sokongan untuk mendapatkan bantuan kebajikan adalah dibenarkan bagi membantu orang-orang dalam kesusahan dan memerlukan bantuan segera.

"Ini nasihat kita (kerajaan negeri) dan kita galakkan supaya pemberian surat sokongan itu adalah tertumpu kepada untuk menolong mereka yang memerlukan. Untuk bisnes, kita elakkan sebab dalam bisnes ada tender, ada cara pemilihan, dalam kontrak mesti memenuhi semua syarat-syarat kontrak itu sendiri.

"Oleh sebab itu, pemilihan-pemilihan itu dibuat dengan teratur tanpa ada sokongan, jadi sebab itulah kita galakkan tidak memberikan sokongan dan membenarkan mereka ini membuat permohonan dan menyertai tender-tender tersebut dengan cara yang telah diuruskan dan jika ia menang, ia akan mendapat keputusan dengan tidak mengasingkan pihak yang lain.

"Bagimanapun kita akan teruskan dan galakkan memberi sokongan untuk kebajikan seperti anak-anak masuk universiti, orang kurang upaya yang tidak mendapat kebajikan, saudara mara yang mendaftar peruntukan skim warga emas, dan banyak lagi perkara kebajikan termasuk rumah pangsa yang mengalami kerosakan lif.

"Jadi kita ada fail sokongan untuk kebajikan, kita juga ada fail sokongan untuk bisnes dan kontrak. Kita terima surat-surat itu tetapi kita asingkan yang mana kebajikan, yang mana bisnes tetapi yang kita tidak galakkan ialah untuk bisnes," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco semalam.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata kerajaan negeri juga akan meminta Datuk Bandar, Yang DiPertua dan agensi kerajaan untuk mengumpul semua surat sokongan yang telah dikeluarkan oleh semua pemimpin untuk diaudit dan dinilai keberkesanannya.

"Langkah ini akan menolong kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang baik, dan berintergriti dalam pentadbiran membabitkan semua peringkat," katanya.

Menteri Besar berkata, beliau berasa malu kerana hasil siasatan berhubung kes melibatkan seorang ahli majlis yang menyalah-gunakan surat rasmi exco kerajaan untuk mendapatkan kontrak bagi kroninya dibocorkan (sehingga mendapat liputan akhbar).

Katanya lagi, kerajaan negeri akan menjalankan satu audit berhubung kejadian tersebut dan siasatan lanjut perlu dijalankan sebelum mengambil apa-apa tindakan ke atas individu terlibat.

Beliau mengulas laporan akhbar The Star yang menyebut, ahli majlis daripada parti DAP itu juga merupakan seorang pemimpin veteran dan mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan parti negeri.

Ahli majlis berkenaan didakwa telah mendapatkan kontrak untuk kroni dan anggota keluarganya dengan menulis surat sokongan menggunakan surat rasmi seorang anggota exco.

Laporan berita itu menyebut ahli majlis DAP itu telah memperoleh kontrak bernilai lebih RM1 juta untuk 20 syarikat daripada majlis itu sejak berkhidmat pada Julai 2008.

No comments

Powered by Blogger.