Annuar Rasmi Kedai Sukan UMBRO

http://img18.imageshack.us/img18/1907/kel2610alz04.gif


KOTA BHARU – Pembukaan rasmi kedai barangan sukan berjenama UMBRO, yang terletak di Jalan Mahmood, Kota Bharu sekali lagi menjadi sebahagian daripada catatan sejarah sempena sambutan Tahun Bola Sepak Kelantan pada tahun ini.

Perasmian pembukaan kedai barangan sukan yang menjadi penaja utama pasukan The Red Warriors musim ini telah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa pada satu majlis yang berlangsung semalam.

Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Naib Presiden Kafa, Datuk Affandi Hamzah, Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Tuan Mohd Hashim Yaakob, Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang, Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan, para pemain dan penyokong Kelantan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam ucapan perasmiannya berkata, kewujudan kedai barangan sukan UMBRO merupakan yang keempat selepas kelahiran Merchandise keluaran Kafa, Soccer Station, dan The Red Warriors Station pada tahun ini.

“Fenomena ini (kewujudan pelbagai perniagaan berasaskan sukan bola sepak) adalah sesuatu yang menggembirakan kita semua kerana daripada hanya sebuah pasukan bola sepak negeri, kita telah berjaya membawa limpahan kepada bukan sahaja dalam bentuk minat para penonton menyaksikan perlawanan tetapi juga perkembangan industri bola sepak itu sendiri.

“Secara tidak langsung perkembangan ini menjadi sebahagian daripada matlamat kita dalam menjayakan Tahun Bola Sepak Kelantan pada tahun ini.

“Bola sepak merupakan satu fenomena global yang berjaya memajukan pelbagai bidang pembuatan, perlancongan dan pembukaan kedai barangan sukan ini merupakan sebahagian daripada contoh tersebut.

“Saya berharap UMBRO dapat berada sebaris dengan jenama-jenama lain dengan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan serta bersaing secara sihat dinegeri ini,” katanya.

Annuar berkata, sebagai duta kemajuan sukan negeri Kelantan, pasukan The Red Warriors diharap dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam sukan bola sepak pada masa akan datang.

“Kita mahu The Red Warriors menjadi sebuah pasukan yang mempunyai tanggungjawab pada masa depan, mengamalkan prinsip mesra bersama peminat. Ini semua antara falsafah pihak pengurusan yang kita mahukan.

Sementara itu, Annuar dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan Pusat, kerajaan negeri Kelantan, Perbadanan Stadium Kelantan (PSK), para penaja, dan kelab-kelab penyokong yang selama ini telah membantu dan memberi sokongan kepada pihak Kafa.

-Sinar Harian-

No comments

Powered by Blogger.