SELANGOR SAMBUT BAIK KEPUTUSAN MAHKAMAH ARAH PERJANJIAN AIR DIDEDAH KEPADA UMUM

KENYATAAN AKHBAR
29 JUN 2010
SELANGOR SAMBUT BAIK KEPUTUSAN MAHKAMAH ARAH PERJANJIAN AIR DIDEDAH KEPADA UMUM

SHAH ALAM : Kerajaan Selangor menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi pada Isnin lalu yang mengarahkan laporan audit dan perjanjian konsesi air antara Kerajaan Pusat, Kerajaan Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) didedahkan kepada umum.

Mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 15 Disember 2004, laporan dan audit konsesi tersebut adalah ‘rahsia’ dan hanya boleh dibuka untuk tatapan umum jika semua pihak bersetuju.
Dengan keputusan ini, rakyat Selangor sekarang boleh membuat penilaian terhadap perjanjian konsesi yang telah dipersetujui oleh kerajaan terdahulu.

“Tarif air bergantung kepada harga perjanjian konsesi. Jika perjanjian itu berat sebelah kepada syarikat konsesi, maka rakyat perlu membayar tarif yang tinggi.

“Oleh itu, keputusan mahkamah supaya dokumen konsesi dan laporan audit didedah kepada umum akan memberi manfaat besar kerana rakyat Selangor boleh membuat penilaian sama ada perjanjian ini adil atau tidak adil kepada mereka,” kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kerajaan Negeri juga mengganggap keputusan mahkamah ini sebagai satu dorongan dan membuka jalan yang lebih luas kepada usaha-usaha untuk mengambil alih pengurusan industri air di Selangor.

Menteri Besar berkata pendedahan dokumen konsesi tersebut juga akan membantu kerajaan negeri meneruskan bantahan terhadap usaha-usaha syarikat konsesi untuk menaikkan tarif air.
Siri-siri perbincangan yang telah diadakan dengan syarikat konsesi dan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan proses pengambilalihan operasi air di Selangor ketika ini sudah berada di peringkat akhir.

Rundingan ini akan dapat diselesaikan jika semua pihak memberi kerjasama.Sehubungan itu, Menteri Besar menyeru Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan rundingan ini.

Rakyat Selangor dan Lembah Klang akan mendapat banyak manfaat jika rundingan pengambilalihan industri air dapat diselesaikan dengan segera.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

No comments

Powered by Blogger.