Pelantikan Azmin tiada agenda tersembunyi: Anwar

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa tiada agenda tersembunyi di sebalik pelantikan Naib Presiden Mohamed Azmin Ali mengambil alih jawatan Ketua parti di Selangor daripada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar berkata pertukaran itu dilakukan ekoran beban tugas Khalid yang berat.
“Pada mulanya saya tidak bersetuju tetapi selepas beberapa perbincangan, kami melihat bahawa beliau (Abdul Khalid) perlu berkongsi beban tugas berkenaan, beliau memerlukan program-program politik dikendalikan oleh orang lain,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pertukaran itu diumumkan semalam oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama dengan pelantikan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Ketua PKR Wilayah Persekutuan berkuatkuasa serta merta.

Mengenai spekulasi 15 Anggota Parlimen PKR mendesak Khalid meletak jawatan, Anwar berkata sebarang tindakan bagi mengetepikan Khalid perlu melaluinya terlebih dahulu.
“Tidak pernah ada sebarang perbincangan mengenai perkara berkenaan pada mana-mana peringkat bagi menyuarakan permintaan itu, jika ada tindakan untuk mengetepikan (Abdul) Khalid ia perlu melalui saya terlebih dahulu kerana saya
mempunyai pengaruh mengenai perkara itu, tetapi isu ini tidak pernah timbul,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata perancangan baru itu akan lebih efektif bagi Selangor dan beliau menyokong Abdul Khalid sebagai MB.

“Perhubungan kami adalah baik, tiada masalah. Saya bekerjasama erat dengan Tan Sri (Abdul) Khalid. Pendirian saya kekal bahawa beliau perlu terus kekal sebagai Menteri Besar dan saya akan memberi sokongan penuh kepada Tan Sri
(Abdul) Khalid,” katanya.

Mohamed Azmin turut menghormati pelantikan Zaid sebagai Ketua PKR Wilayah Persekutuan.

“Saya fikir beliau merupakan pemimpin yang layak menerajui Wilayah (Persekutuan),” katanya. — BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.