Menikmati hak memilih parti politik

Oleh Rahman Saari

Sejumlah sarjana Islam menyertai UMNO. Penyertaan mereka sekurang-kurangnya membawa makna bahawa pilihan seseorang atau sekumpulan orang benar-benar tertakluk pada kecenderungan dalaman, bukan pada propaganda luaran. Ertinya kata-kata propagandik berlebih-lebihan, bahawa UMNO parti yang menyeleweng dari jalan ke syurga telah tersangkal.


Saya secara peribadi tidak terlalu merasakan penyertaan sarjana agama dalam UMN0 sebagai satu kelebihan. Mereka tidak lebih daripada sarjana dalam bidang-bidang lain, misalnya sarjana sastera, sains, sains politik dan banyak lagi. Sarjana adalah sarjana, ketakwaan lain pula. Pada masa lalu, Ketua Abim pun tidak memerlukan kesarjanaan agama, sebaliknya kesarjanaan sastera. Jika kita perpanjangkan hal ini, akan kita simpulkan bahawa ahli-ahli politik memilih parti laksana pembaca memilih akhbar. Pilihlah Sinar Harian jika pembaca mahu menatap aneka corak pandangan politik.

Dalam tiga bicara yang lepas saya menyebut; dalam fikiran setiap ahli politik ada plot dan cerita, ditambahi perwatakan. Songkok dan ketayap adalah luaran, manakala selok-belok fikiran adalah rumit, tidak dapat diwakilkan oleh songkok dan ketayap. Namun, pakaian juga berperanan, kerana seperti yang disebut Rendra: Pakaian kita diperhitungkan orang. Dalam hal ini, Rendra mahu menekankan yang luaran sering diambil kira masyarakat.

Orang yang berfikiran terbuka akan berasa senang apabila mengetahui masih ada golongan yang mengkhusus ilmu agama bersedia memilih UMNO. Kekacauan dan haru-biru dalam UMNO, sama juga dalam beberapa parti lain, sebelah kerajaan atau pembangkang, antara lain disebabkan ketiadaan jaminan, bahawa ahli menekankan segi agama. Sekurang-kurangnya pada masa ini, kita dapati orang Pas berpendirian kukuh mempertahankan prinsip berparti. Mereka tidak menukar parti seperti menukar baju. Mereka menghayati prinsip dan perjuangan Pas, dalam hal mempertahankan pemimpin dan agenda parti. Sekurang-kurangnya begitu.

Orang UMNO perlu belajar untuk setia kerana prinsip. Memanglah tidak besar jumlah orang UMNO yang menyeberang ke pihak pembangkang, namun itu tidak terlalu dikaitkan dengan kesetiaan kepada prinsip. Ahli-ahli UMNO sejumlahnya berasa tenteram berada dalam UMNO kerana wujudnya peluang-peluang. Dalam hal ini, pernah Dinsman menasihati pihak PKR agar jangan jadi macam UMNO.

Lanjutan sedikit daripada Dinsman, saya ingin menyarankan agar orang UMNO juga jangan jadi macam orang PKR. Orang PKR, dalam perhatian saya, amat mudah melompat keluar, baik melompat menjadi ahli UMNO, juga bebas. Saya tidak mempersalahkan mereka, kerana mempersalahkan orang bukanlah kerja saya. Kerja saya, melalui hukum anjakan makna, mahu menyatakan, semua pihak baik-baik belaka. Buruk atau jahat ialah celahan-celahan kebaikan itu, iaitu sesuatu yang turut wujud beriringan dengan kebaikan. Neraka ialah untuk sesiapa yang memilih celahan-celahan itu, bukan yang memilih Pas, UMNO atau PKR.

Tidaklah wajar dikatakan UMNO atau BN bernilai negatif, setelah negara mencapai kemajuan ke tahap kini. Sarjana-sarjana Islam yang baru menyertai UMNO sedang membawa mesej ini. Di samping itu, tidak pula wajar Pas dicemuh kerana menjauhi UMNO, kerana mereka ada plot dalam fikiran, seperti adanya plot PKR yang ingin melihat Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Seperti disebutkan Subky Latiff dalam tulisannya baru-baru ini, impian Anwar tidak salah.

Apa yang silap dalam politik kita akhir-akhir ini ialah kewujudan pertentangan mengharu-birukan rakyat. Nilai negatif dikenakan kepada pihak lawan, semata-mata bagi menaikkan seseorang tokoh. Sebenarnya, usaha mencari nilai negatif manusia akan menjadi-jadi, jika tabiat itu tidak disekat. Segala hal yang berlaku dalam bilik tidur, bahkan dalam selimut musuh politik dibongkar. Hal pintu depan dan pintu belakang dijadikan sumber utama dalam penghujahan, padahal yang sedang kita perjuangankan ialah kehidupan rakyat agar lebih berbahagia. Sekarang, gambar bogel mudah diambil orang, jadi janganlah keterlaluan memikirkannya, kerana nanti gambar bogel sendiri pun terpapar di mana-mana. Malah siap dengan aksi.

Masuknya sarjana agama dalam UMNO, saya kira bagus, bukan hanya untuk UMNO, malah untuk semua. Mereka secara langsung dan simbolik menyatakan perihal kebebasan memilih parti politik. Walaupun parti politik mungkin memperjuangkan agama, namun hakikatnya parti politik bukanlah agama, dan tidak sinonim dengan agama. Parti politik ialah pertubuhan moden, dan rangka perjuangan parti politik ialah rangka yang dipelopori barat. Kita hendaklah menerima parti politik sama seperti kita menerima novel dan puisi moden, iaitu dua cabang seni bahasa dari barat, yang meninggalkan hikayat dan pantun, dua cabang seni bahasa tradisi kita.

Saya melihat UMNO sebagai parti yang telah berusia dan berjasa. Dari segi usia, Pas ialah adiknya. Dari segi usia juga, PKR laksana anaknya. Masing-masing wujud di tengah-tengah masyarakat kita, maka kita pilihlah dengan penuh hemat. Jika kita penyokong UMNO, dan anak kita memilih Pas, biarkan. Itu haknya. Jika kita UMNO, isteri kita memilih PKR, tidak mengapa juga, cuma jangan terlalu berhujah ketika di bilik tidur, kerana itu boleh mengurangkan mood untuk berjuang.

Pemilihan parti politik ialah hak kita.

No comments

Powered by Blogger.