Dakwaan Letak Jawatan: Haniza Sifatkan Cubaan Musuh Porak-Perandakan Pakatan Rakyat Selangor

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 29 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Mohd Talha menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan namanya antara empat Adun KEADILAN Selangor yang akan meletakkan jawatan kerana membantah kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Saya dengan ini melahirkan rasa terkilan kerana nama saya telah disenaraikan sebagai salah seorang daripada empat Adun KEADILAN Selangor yang akan mengosongkan kerusi, kononnya kerana membantah kepimpinan Khalid sebagai Menteri Besar," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain beliau, turut dikaitkan dalam isu ini tiga lagi Adun KEADILAN Selangor iaitu Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Batu Caves, Amiruddin Shari dan Sri Muda, Shuhaimi Shafie.

"Penyebaran berita palsu ini menggambarkan begitu terdesaknya pihak musuh yang cuba menimbulkan kekacauan dan keraguan dalam kerajaan Pakatan Rakyat. Pandangan ini turut dikongsi tiga rakan Adun saya yang turut dikaitkan," katanya.

Ketua Wanita KEADILAN Selangor itu menegaskan, beliau menyokong penuh kepimpinan Khalid sebagai Menteri Besar.

"Beliau merupakan seorang yang banyak berjasa kepada negeri Selangor dari segi ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat di negeri ini," ujar beliau lagi.

Mengulas mengenai Peralihan Majlis Pimpinan Negeri Selangor, Haniza menyifatkan ia merupakan satu langkah yang baik
bagi membolehkan Khalid memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negeri.

"Saya ingin melafazkan taat setia dan tidak akan mengkhianati perjuangan rakyat yang saya dokong. Saya minta seluruh pendokong perjuangan rakyat supaya tidak mempercayai berita palsu ini," ujar beliau lagi.

No comments

Powered by Blogger.