Bola sepak sebagai artikulasi sentimen politik

Oleh Haris Zalkapli

Sukan ialah satu medan budaya popular dan politik, dan oleh itu, tidak dapat dipisahkan daripada wacana politik, sama ada yang berbentuk popular atau lebih akademik.Persoalan yang timbul bukan lagi sama ada bola sepak - dan semua sukan - mempunyai kaitan dengan politik, tetapi lebih jauh lagi, termasuk apa yang dijelaskan dalam sukan mengenai politik.

Dalam perbincangan mengenai kejohanan bola sepak Piala Dunia masa ini, banyak muncul rujukan-rujukan termasuk cerminan dan metafora kepada politik dunia.

Tetapi apa yang paling dijelaskan oleh bola sepak ialah artikulasi politik, budaya politik, ekonomi neoliberal dan globalisasi.

Artikulasi sentimen politik ialah yang paling jelas dapat diperhatikan, seperti dalam kes pertembungan Argentina dengan Inggeris yang memunculkan rujukan kepada Perang Falkland, perlawanan Amerika Syarikat menentang Iran yang dikaitkan dengan hubungan buruk kedua-dua negara dan Jerman (Jerman Barat sebelum penyatuan) dengan Inggeris yang membangkitkan ingatan kepada Perang Dunia Kedua.

Hubungan bola sepak dan sukan dengan politik yang paling jelas ialah identiti negara-bangsa pasukan-pasukan atau pemain-pemain terbabit.

Dalam bola sepak, identiti ini paling jelas dapat diperhatikan, sebahagiannya disebabkan populariti sukan ini dalam kalangan rakyat dan prestij pertandingan-pertandingan bola sepak dunia yang menarik liputan media yang lebih luas.

Sukan seperti tenis yang melibatkan individu yang tinggal di luar negara untuk mengelakkan cukai - sesuatu yang paling mentakrifkan kuasa negara-bangsa - juga tidak dapat dipisahkan dengan identiti negara-bangsa.

Simbol yang paling mudah difahami ialah bendera negara asal pemain terbabit, walaupun pemain itu bermain untuk dirinya sendiri dan tidak mewakili negaranya.

Perlawanan Jerman dan Inggeris dalam Piala Dunia kali ini tidak dapat mengelakkan daripada mencetuskan rujukan-rujukan politik dan perang, kerana sejarah itu yang menjadi peristiwa besar yang mencorakkan hubungan kedua-dua negara.

Perlawanan kedua-dua negara besar Eropah itu sentiasa menjadi perhatian peminat bola sepak kedua-dua negara dan menjadi perlawanan penting sepanjang zaman.

Hari ini, dalam era Kesatuan Eropah pada tahun 2010, sentimen ini masih terjelma dalam bola sepak melibatkan kedua-dua negara.

Hal ini menjelaskan lagi hubungan bola sepak dengan politik yang tidak dapat dipisahkan, dan peranan penting sukan dalam politik.

No comments

Powered by Blogger.