Anwar nafi adanya usaha mahu gulingkan MB Selangor

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 28 Jun —Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal laporan wujudnya ‘pemberontakan dalaman’ terhadap kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sambil menegaskan, isu berkenaan langsung tidak dibangkitkan ketika sesi pemukiman dua hari yang berakhir semalam.

Malah menurut penasihat PKR itu, tiada ahli Parlimen parti yang mengemukakan petisyen ataupun melahirkan hasrat mahu Khalid digugurkan sebagai Menteri Besar Selangor.

“Saya ada dengar (perkara ini). Saya telah menelitinya tetapi secaar serius tiada siapa yang membawa isu ini, malah tiada sebarang perbincangan di mana-mana peringkat termasuk ahli-ahli Parlimen (didakwa) membuat tuntutan sedemikian,” kata beliau kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Penasihat PKR itu menyalahkan khabar angin 15 ahli Parlimen dengan usaha Umno yang mahu mengalih perhatian daripada masalah dalaman Barisan Nasional.

“Saya merasakan ada usaha untuk mencetuskan masalah sedemikian, sebahagiannya untuk mengalihkan masalah-masalah dihadapi oleh Umno khususnya APCO, Sungai Besi... hanya boleh dialihkan dengan ini,” kata Anwar.

Anwar menekankan tujuan utama sesi pemukiman kali ini ialah membuat persiapan menghadapi pemilihan parti akhir tahun ini.

No comments

Powered by Blogger.