Adun PKR: ‘Saya tidak akan khianati perjuangan rakyat’

KUALA LUMPUR, 29 Jun — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan Haniza Mohamed Talha dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan beliau tidak akan mengkhianati perjuangan rakyat dengan menolak desas-desus akan keluar parti itu.

“Saya ingin melafazkan taat setia dan tidak akan mengkhianati perjuangan rakyat yang saya dokong.

“Saya minta seluruh pendokong perjuangan rakyat supaya tidak mempercayai berita palsu ini,” kata beliau mengulas laporan yang merujuk SMS yang disebarkan semalan mendakwa akan keluar PKR itu.

Haniza berkata beliau terkilan kerana namanya telah disenaraikan sebagai salah seorang daripada empat Adun PKR Selangor yang akan mengosongkan kerusi, kononnya kerana membantah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Selain beliau turut dinamakan ialah Adun Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves), dan Shuhaimi Shafiei (Sri Muda).

“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Pandangan ini turut dikongsi tiga rakan Adun saya yang turut dikaitkan dengan isu ini.

“Penyebaran berita palsu ini menggambarkan begitu terdesaknya pihak musuh yang cuba menimbulkan kekacauan dan keraguan dalam kerajaan Pakatan Rakyat.

“Saya meyokong penuh kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Negeri Selangor,” katanya.

Haniza berkata Khalid merupakan seorang yang banyak berjasa kepada negeri Selangor dari segi ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Selangor.

Haniza berkata peralihan Majlis Pimpinan Negeri Selangor merupakan satu langkah yang baik bagi membolehkan Khalid memberi tumpuan yang penuh kepada pentadbiran negeri.

Khalid digantikan oleh Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali sebagai pengerusi PKR Selangor yang baru.

Meskipun PKR selesai mengadakan sesi pemukiman dengan melakukan rombakan kecil di sebalik desas-desus wujudnya desakan mahu Khalid Ibrahim digugurkan, spekulasi baru muncul semalam dengan mendakwa empat Adun parti itu akan keluar kerana beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Khabar angin mendakwa keempat-empat mereka akan keluar PKR sebagai tanda protes pucuk kepimpinan memutuskan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.

Semalam ketiga-tiga Adun terbabit telah menolak desas-desus itu.

Amirudin memberitahu The Malaysian Insider beliau dan rakan-rakannya menghormati keputusan pucuk kepimpinan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar. dihormati.

Suhaimi juga melahirkan pandangan yang sama dengan berkata tidak tahu-menahu apa-apa cerita sebenar.

No comments

Powered by Blogger.