Mahathir nasihati Samy: Cukuplah, jangan kekal lama

Oleh Adib Zalkapli

May 27, 2010KUALA LUMPUR, 27 Mei — Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi nasihat mesra kepada Datuk Seri S. Samy Vellu yang berhadapan dengan tekanan selepas memecat empat pemimpin dalam dua minggu — wajar melepaskan jawatan sebagai Presiden MIC.

“Saya tidak mewakili Umno. Tetapi saya sudah lama memberitahu bahawa seorang itu tidak harus kekal terlalu lama.

“Itu sebabnya saya meletakkan jawatan,” kata Dr Mahathir yang berhenti daripada menjadi perdana menteri pada 2003 selepas 22 tahun menerajui kerajaan Barisan Nasional.

“Beliau telah berkhidmat lebih lama daripada saya dan beliau telah cipta rekod. Saya merasakan dengan rekod itu, beliau harus berpuas hati,” kata bekas presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional.

Samy Vellu telah berkhidmat dalam Kabinet diketuai tiga perdana menteri sebelum dan selepas era Dr Mahathir.

Samy Vellu kini berhadapan dengan kempen Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang akan dilancarkan oleh kumpulan pemimpin yang beliau pecat baru-baru ini.

Ini kali pertama beliau, yang tewas dalam pilihan raya umum 2008, berhadapan dengan tekanan sedemikian.

Walaupun Samy Vellu awal minggu lalu mengumumkan pelan peralihan pucuk kepimpinan, berkuat kuasa suku ketiga 2011, tetapi pengumuman itu mendapat tentangan atas alasan beliau sentiasa mengubah tarikh yang diumumkannya.

Antaranya, bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan mendesak Samy Vellu berundur dengan segera ataupun selewat-lewarnya 31 Disember ini.

Atas alasan Mugilan memperlekehkan kepimpinannya, Samy Vellu menggunakan kuasa presidennya untuk memecat beliau serta-merta.

Semalam, Samy Vellu berkata timbalannya Datuk G. Palanivel akan menggantikan beliau apabila berundur “sebelum atau pada” September tahun depan.

Naib Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia akan dinamakan sebagai timbalan presiden parti yang baru, manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M. Saravanan sebagai naib presiden parti.

Beliau berkata Palanivel yang baru dilantik sebagai senator baru-baru ini mempunyai masa untuk menyesuaikan diri dengan tugas dan tanggungjawab sebagai presiden sehinggalah pemilihan presiden pada Mac 2012.

Menjawab soalan Umno menggunakabn pendekatan “pembunuhan politik” terhadap Samy Vellu, yang dilontarkan oleh anaknya Vell Paari, Dr. Mahathir berkata, mereka yang berbuat demikian harus menyediakan bukti.

“Dia perlu menyediakan bukti yang boleh meyakinkan bahawa Umno terlibat,” kata beliau.

Malah tuduhan itu juga diulangi oleh Ketua Pemuda MIC, T. Mohan yang turut meminta MIC mengkaji semula kedudukannya dalam BN.

Samy Vellu mengambil alih jawatan presiden MIC daripada Tan Sri V. Manickavasagam 31 tahun yang lalu.

Selain memecat Mugilan, Samy Vellu memecat Ketua Bahagian MIC Petaling Jaya Selatan V. Subramaniam atau dikenali sebagai Bharat Maniam, dan dua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat K. P. Samy dan G. Kumar Aamaan.




Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.