Lompat parti: PKR rangka kriteria ketat pemilihan calon

Oleh G. Manimaran


KOTA BARU, 30 Mei — Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah memulakan proses merangka kriteria pemilihan calon pilihan raya — kemungkinan besar akan digunakan apabila berhadapan dengan pilihan raya Sarawak.

Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berkata, kriteria pemilihan itu termasuklah menilai komitmen bakal calon kepada parti dan juga kepada rakyat.

Fuziah yang dilantik ke jawatan itu Februari lalu memberitahu, pihaknya meletakkan sasaran untuk memuktamadkan kriteria pemilihan dalam waktu terdekat.

“Sasaran saya ialah untuk menggunakan kriteria ini ketika pilihan raya negeri Sarawak. Jika dapat digunakan semasa pilihan raya negeri Sarawak, saya melihat ia sebagai satu bonus,” kata beliau kepada The Malaysian Insider pada Kongres Nasional Keenam PKR di sini hari ini.

Jelas beliau, kriteria itu termasuklah senarai rujukan latar belakang seseorang yang bakal dipilih sebagai calon.

“Sumber rujukan ini termasuklah mendapatkan pandangan orang ramai, badan-badan awam, cabang, ranting dan sebagainya... kriteria ini akan dijadikan prosedur standard dalam memilih calon pada masa-masa akan datang,” kata beliau dengan menambah, soal pemilihan calon bukan sahaja membabitkan individu calon, sebaliknya ia melibatkan kepentingan pelbagai pihak.

Oleh itu, katanya pandangan pelbagai pihak akan diperoleh.

“Kita sudah belajar (pengalaman lompat parti),” katanya.

Ditanya sama ada PKR akan menggunakan kaedah yang digunakan ketika pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, Kedah awal tahun lalu, Fuziah berkata, kemungkinan juga ia akan diambil kira.

Ketika itu PKR mengguna pakai pendekatan menemu bual mereka yang dicalonkan dan melahirkan hasrat untuk bertanding.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandang kerusi itu melepaskan jawatannya ketika timbul pelbagai spekulasi beliau mahu melompat parti.

Penyandang jawatan itu juga merupakan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider baru-baru ini, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tindakan tergesa-gesa parti itu dalam menurunkan calon dalam pilihan raya umum 2008 telah menyebabkan pemilihan pemimpin yang masih berfikiran “macam Umno.”

Katanya, PKR tidak membuat persiapan selengkapnya menghadapi pilihan raya umum 2008 memandangkan tidak mendapat calon yang cukup bilangan untuk bertanding kerusi yang diperuntukkan.

Oleh itu kata beliau, pihaknya ada membuat “kesilapan” dengan terpaksa menerima sesiapa sahaja yang hendak bertanding.

PKR yang ditubuhkan 12 tahun yang lalu mencatatkan kejayaan paling besar pada 8 Mac 2008.

PKR merupakan antara komponen dalam Pakatan Rakyat, yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008.

Di bawah gabungan itu, Pakatan Rakyat menawan lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Dewan Rakyat.

Sejajar dengan ucapan dasar Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perwakilan-perwakilan yang menghadiri kongres kali ini turut menimbulkan isu wakil-wakil rakyat melompat parti.

Kata Wan Azizah, ukuran pemilikan pimpinan harus lebih ketat manakala bakal calon harus mengikuti program latihan.

“Apakah mampu dipertahankan tokoh lama yang kurang wibawa? “Atau mestikah kita sekadar memilih baru yang telah kenal aspirasi perjuangan parti yang bersifat islahi — tajdidi; kearah reformasi dan pembaharuan,” katanya.

Semalam ketika berceramah di Padang Perdana di sini, Anwar berkata, partinya kemungkinan akan memperkenalkan pendekatan tarbiyah atau latihan untuk calon-calon yang bakal bertanding.

Selain itu Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, PKR juga kemungkinan akan memperkenalkan pendekatan ikrar bagi mengelak budaya melompat.

Mengulas pendekatan ambil ikrar, Fuziah berpendapat, beliau berpendapat seseorang itu akan bertindak seperti wakil-wakil rakyat yang telah keluar jika mereka tiada komitmen kepada parti meskipun diwajibkan mengambil ikrar.

Bagaimanapun katanya, pendekatan itu akan diambil kira bersama input-input yang sedang diperoleh dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Kami sedang dalam proses mengumpul maklumat,” kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan menekankan, hasil perbahasan di kongres menunjukkan perwakilan sudah tidak kisah dengan budaya keluar parti yang dialami PKR.

“Kami sudah tidak rindu mereka lagi... ini yang saya dapati hasil perbahasan,” katanya.



Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

1 comment

SUARA RAKYAT KUNAK said...

Cara yang terbaik agar Yb yang telah di lantik oleh Pengundi agar tidak lompat Parti, perkara ini SPR harus memainkan perananya, didalam borang Pencalonan harus ditambah, Jika calon telah menjadi YB, selepas itu dia melompat Parti, maka secara Automatic kursi di Dun yang di wakilinya akan kosong. Perkara ini harus di ambil perhatian.

Powered by Blogger.