Lagi guna duit rakyat untuk skim baru?

Faisal Mustaffa

Pada tahun 2007, Bank Negara telah memperkenalkan suatu skim insurans kereta bagi menggantikan perlindungan pihak ketiga iaitu ‘No-fault liablity scheme’ (NFL). Setelah mendapat maklumbalas daripada pihak-pihak yang berkepentingan seperti Majlis Peguam Malaysia, persatuan-persatuan pengguna, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan syarikat-syarikat insurans, skim tersebut tidak diteruskan.

Semasa pembentangan Belanjawan Negara 2010, Perdana Menteri Najib Razak telah mengumumkan bahawa Bank Negara akan memperkenalkan dan melaksana suatu skim baru bagi perlindungan kecederaan dan kematian pihak ketiga yang dinamakan skim Asas Perlindungan Kecederaan dan Kematian Pihak Ketiga (TPBID, dalam Bahasa Inggeris, Third Party Bodily Injury and Death

Melalui skim TPBID ini, Bank Negara memaklumkan bahawa suatu syarikat baru akan ditubuhkan untuk mengawalselia skim ini. Syarikat ini juga akan membayar gantirugi yang dituntut oleh pemohon (mangsa kemalangan). Di bawah skim TPBID ini juga dicadangkan bahawa jumlah pampasan gantirugi akan dihadkan pada suatu jumlah tertentu dan kadar premium insurans juga mungkin akan dinaikkan dan ditambah (top up).

Apa sebenarnya TPBID dan apakah skim ini tertakluk di bawah sistem takaful? Atau konvensional?

Seperti yang kita maklum, Parlimen akan bersidang pada Jun 2010. Tetapi, menurut Perdana Menteri, skim ini akan dilaksanakan pada September 2010.

Sekiranya dikaji dari segi perundangan, TPBID akan melibatkan beberapa Akta yang mengawal seperti Akta Undang-Undang Sivil 1956, Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Insurans serta Akta Takaful. Jadi, akta yang mana akan dipinda dan adakah Parlimen mempunyai masa untuk memindanya pada Jun ini dengan satu usul yang akan dibawa oleh Menteri berkaitan?

Apa yang ditakuti, kita akan meredah sesuatu perkara itu tanpa mengikuti lunas undang-undang yang ada, seolah-olah negara kita ini tidak mempunyai undang-undang.

Jadi adakah dengan pengenalan dan perlaksanaan skim ini, tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat, yakni skim Perkeso akan dilepaskan? Adakah jabatan ini masih bertanggungjawab membantu mangsa yang cacat kekal akibat kemalangan jalanraya dan sebagainya.

Apa itu skim TPBID?

Sekiranya diikutkan aspek keuntungan, tiada syarikat insurans yang mahu menawarkan akses kepada perlindungan insurans motor pihak ketiga. Syarikat insurans akan mengalami kerugian yang tinggi (terpaksa membayar RM2.70 bagi setiap RM1.00).

Seperti yang kita maklum, proses tuntutan mengambil masa yang lama dan membebankan mangsa. Apa yang kita impikan, sebagai seseorang yang dilindungi di bawah insurans ialah agar tempoh tuntutan praktikal dalam beberapa kategori utama yang memberi keadilan dan kewajaran kepada mangsa (pemohon).

Bagi setiap kecederaan, ia mengambil masa yang berbeza untuk pulih bergantung kepada jenis kecederaan. Untuk memberikan gantirugi dalam masa yang singkat tidak munasabah dan tidak wajar kerana kecederaan boleh berubah menjadi ketidakupayaan. Jika gantirugi diberikan dalam tempoh yang singkat, dikhuatiri, gantirugi tersebut tidak setimpal dengan kecederaan yang dialami.

Sebahagian penyelesaian tuntutan mengambil masa yang lama selalunya akibat amalan sesetengah syarikat insurans yang melengah-lengahkan perlantikan peguam, adjuster, doktor pakar pilihan dan pembayaran – sedangkan terdapat kes di mana isu liabiliti jelas dan kecederaan tidak serius dan pertikaian isunya tidak rumit.

Bagaimana struktur syarikat?

Persoalan awal yang kita perlu ketahui dan diberi penerangan ialah sama ada TPBID ini sebuah syarikat insurans baru? Sekiranya tekaan ini benar, siapakah yang akan menganggotai syarikat ini?

Siapa pemegang saham dan ahli lembaga pengarah? Bagaimana pula dengan kos penubuhan TPBID ini? Dari mana kerajaan akan mendapatkan sumber kewangan untuk menubuhkan syarikat baru ini? Adakah dari perbendaharaan (duit rakyat)?

Sebagai pengguna jalan raya, soalan yang kebanyakan dari kita ingin ketahui ialah sama ada adakah semua pemilik kenderaan selepas ini mesti membeli dua perlindungan insurans iaitu TPBID sebagai perlindungan asas mandatori dan Third Party Property Damage (TPPD) untuk kerosakan kenderaan bagi setiap sebuah kenderaan untuk memastikan tuntutan kecederaan diri dan kerosakan kenderaan pihak ketiga terhadapnya akan dilindungi?

Sekiranya skim ini dilaksanakan, saya jangkakan yang para pengguna akan membeli skim perlindungan mandatori sahaja. Bukankah itu yang termurah sungguhpun tidak memberi perlindungan sepenuhnya?

Proses tuntutan adalah suatu yang menarik yang perlu kita sebagai rakyat Malaysia ketahui, terutama apabila kemalangan menimpa kita. Perkara pokok ialah tempoh tuntutan? Mengikut Akta Had Masa 1953 dan Akta Undang-Undang Sivil 1956, bagi kecederaan ialah enam tahun dan bagi kematian tiga tahun. Adakah syarikat ini akan menggunakan peruntukan akta-akta ini?

Persoalan lain ialah siapakah boleh menuntut? Adakah mangsa kemalangan sendiri atau wakil? Bagaimana jika mangsa meninggal?

Tujuan rencana ini ditulis bukanlah untuk menjelaskan tetapi mengemukakan persoalan-persoalan yang menghantui fikiran kita ini.
Kita seharusnya tidak mengambil perkara ini sambil lewa dan menyerahkan kepada pihak-pihak lain untuk mempersoalkannya. Tanggungjawab pihak kerajaan pula ialah untuk memberi penerangan sejelas-jelasnya kepada kita semua, terutama sekali kepada pembayar cukai yang mempunyai hak untuk mengetahui perkara-perkara sebegini.



Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.