Suasana pilu iringi pengebumian jenazah

MACHANG - Jenazah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Datuk Ir Zulkifli Ahmad yang meninggal dunia setelah terbabit dalam kemalangan kelmarin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Surau, Pulai Chondong, kira-kira jam 11 malam, di sini, semalam.

Kelmarin, Zulkifli maut, manakala tiga yang lain cedera ringan apabila pacuan empat roda yang dinaiki mereka dirempuh sebuah treler di Kilometer 98, Jalan Kota Bharu-Machang-Grik, kira-kira jam 2.45 petang.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Zulkifli, 56, dituntut ahli keluarga di Bilik Mayat Hospital Jeli setelah selesai bedah siasat.

Jenazah kemudian dimandi dan dikafankan di hospital itu sebelum dibawa dengan van jenazah ke rumah keluarga isterinya, Datin Norazmah Abdullah di Kampung Surau, kira-kira jam 10.45 malam bagi membolehkan kaum keluarga, kakitangan dan kenalan terdekat memberi penghormatan terakhir.

Jenazah disolatkan di Masjid Tok Pulai Chondong, di kampung tersebut dan dibawa ke tanah perkuburan pada jam 11 malam.

Sebelum itu, suasana pilu menyelubungi rumah keluarga isteri Allahyarham yang dihadiri lebih 500 orang termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, Makhtar Mustapa; Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan; Kakitangan JKR, saudara mara dan penduduk kawasan berkenaan. SH

No comments

Powered by Blogger.