Sabotaj antara 3 punca BN hilang undi Cina, kata Chua

JOHOR BARU, 28 April — MCA akan mengkaji punca merosotnya sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu pada mesyuarat Majlis Presiden parti itu esok.

“Kita akan melihat jumlah undi mengikut saluran mengundi dan akan membandingkan angka itu dengan pilihan raya umum yang lalu,” kata Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (gambar) di sini.

Dalam kajian awalnya, MCA mendapati tiga faktor yang menyebabkan merosotnya sokongan pengundi Cina itu.

Faktor pertama, katanya, ialah calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim lebih terkenal kerana merupakan bekas menteri dan mempunyai profil yang lebih tinggi berbanding calon BN P. Kamalanathan, seorang muka baru.

Dipetik Bernama, Dr Chua berkata, Zaid yang berpandangan liberal dianggap hero di kalangan golongan muda masyarakat Cina walaupun terdapat usaha mengatakan beliau kaki botol dan kaki judi.

Faktor kedua ialah berlakunya perbezaan kepimpinan antara bekas Pengerusi MCA Hulu Selangor, Datuk Ch’ng Toh Eng dan penyandang sekarang di mana pada pilihan raya itu ada berlakunya unsur-unsur sabotaj.

Faktor ketiga ialah berkaitan kenyataan sensitif sesetengah pemimpin politik bahawa masyarakat Cina terhutang budi kerana diberi kerakyatan di negara ini selain kenyataan bahawa masyarakat Cina adalah kaum pendatang.

Beliau juga berkata isu Teoh Beng Hock dan kesedaran masyarakat Cina yang lebih tinggi terhadap isu-isu nasional turut menjadi punca kemerosotan tersebut.

Katanya, daripada 17,000 pengundi Cina di Hulu Selangor, 7,000 adalah anggota MCA.

No comments

Powered by Blogger.