Kesepakatan Menjadikan Pakatan Rakyat Semakin Kukuh

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR 27 Apr - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yakin dengan persefahaman yang dicapai oleh semua parti yang bergabung di dalam Pakatan Rakyat akan terus memantapkan gagasan itu untuk merealisasikan penubuhan kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita dari Parti Islam Semalaysia akan terus bersama dengan rakan-rakan parti di dalam Pakatan Rakyat. Ianya meningkat dari satu fasa sehinggalah ke peringkat yang tertentu. Proses ini akan berterusan sebagai persediaan bagi menghadapi pilihan raya yang ke-13 kelak," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat agung PAS di Jalan Raja Laut pagi tadi.

Mustafa membayangkan akan ada pertambahan parti politik lain yang akan menyertai Pakatan Rakyat dalam masa terdekat.

Apa yang penting kata beliau adalah persetujuan dan persefahaman mengenai dasar-dasar bersama yang disepakati.

"Perkembangan terbaru ialah, kita menerima penyertaan dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pada 20 April lalu," kata Mustafa.

Ditanya mengenai perbezaan dasar antara parti yang bersama di dalam Pakatan Rakyat, beliau tidak gusar kerana dengan kewujudan pelbagai jalur idea di dalam Pakatan Rakyat sendiri merupakan sebuah kekuatan.

"Pada konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan tahun lalu, semua parti telah bersetuju terutamanya mengenai pengukuhan dan pemerkasaan Perlembagaan Malaysia. Perkara-perkara yang terkandung di dalam Perlembagaan tersebut merupakan asas perjuangan kita.

"Antara lain ialah, mengenai kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu, Islam sebagai agama persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan."Kami semua telah setuju untuk mempertahankan dasar tersebut termasuklah parti DAP," tegasnya.

Ketika ditanya mengenai perbezaan pandangan PAS dan DAP mengenai isu negara Islam, beliau beranggapan kontradiksi tersebut merupakan perbezaan parti masing-masing dalam mentafsir Perlembagaan dan Undang-undang."Kita perlu ingat bahawa pelaksanaan mana-mana dasar adalah melalui Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Bahkan PAS sendiri menyebut didalam perlembagaannya untuk melaksanakan pentadbiran di dalam sebuah masyarakat mengikut lunas-lunas Islam. Kegusaran mengenai dasar yang diskriminatif pasti tidak timbul", jelas beliau.

Beliau memberikan contoh pentadbiran di negeri Kedah di mana PAS sebagai peneraju sedang melaksanakan polisi dan kaedah pemeritahan yang mengikut undang-undang dan lunas Perlembagaan.

No comments

Powered by Blogger.