Ibrahim: Saya bukan pemimpin dahagakan publisiti

http://media.themalaysianinsider.com/images/2010/04/30/ibrahim-april30.jpg

KUALA LUMPUR, 30 April — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali (gambar), yang berhadapan dengan kecaman MCA sejak awal minggu ini susulan keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor, menyangkal dakwaan yang beliau “dahagakan publisiti” semata-mata.

“Presiden MCA Datuk (Dr) Chua Soi Lek berkata saya dahagakan publisiti. Komen saya, saya tidak mengejar publisiti.

“Jikapun kenyataan datang daripada saya, ia adalah ekoran pertanyaan pemberita berhubung pelbagai isu,” kata Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini.

Dalam komennya menerusi SMS, Ibrahim memberitahu, sejak kebelakangan sekurang-kurangnya 20 pemberita menelefonnya setiap hari untuk mendapatkan ulasan sehingga tidak dapat memberi tumpuan terhadap kerja seharian beliau.

“Jika saya tidak respons mereka akan mengatakan saya sombong.

“Sudah tentu Soi Lek tidak memerlukan publisiti lagi sebab video seks beliau sudah cukup, tidak perlu dahagakan publisiti,” katanya.

Petang semalam, selepas mempengerusikan mesyuarat parti, Dr Chua membidas lagi Ibrahim sebagai seorang pemimpin hanya mendahagakan publisiti.

Ibrahim dan MCA berhadapan dengan kontroversi selepas ketua Perkasa itu menggesa kerajaan menangguhkan bantuan dan peruntukan kepada masyarakat Cina selepas Barisan Nasional menyaksikan kemerosotan sokongan mereka di Hulu Selangor, Ahad lalu.

No comments

Powered by Blogger.