Ibrahim Ali saman Sun, pengarang, wartawan

SHAH ALAM, 29 Apr – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali hari ini memfailkan saman terhadap akhbar berbahasa Inggeris The Sun, ketua pengarang dan wartawan yang didakwa menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya dan Sultan Selangor.

Samannya itu difailkan oleh peguamnya, Datuk Salehudin Saidin di Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini.

Ditemui pemberita, Salahudin berkata anak guamnya menuntut gantirugi yang akan ditentukan mahkamah, permohonan maaf secara terbuka dan perintah injuksi bagi melarang pihak tersebut daripada terus menyiarkan berita seumpama itu.

Katanya, akhbar The Sun pada 17 Mac lalu menyiarkan laporan berunsur fitnah bahawa Ibrahim dan Perkasa tidak mendapat pekenan Sultan Selangor bagi merasmikan mesyuarat agung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu pada hujung bulan lalu.

“Tulisan itu juga menggambarkan anak guam saya chauvinis Melayu dan kuat perkauman,” katanya.
Selain laporan berita itu, Ibrahim sebelum ini juga pernah mendakwa satu lagi laporan dalam akhbar yang sama, mendakwa Sultan Selangor telah menasihatkan presiden Perkasa itu supaya jangan bersikap melampau.
Dalam laporan tersebut, The Sun memetik sumber-sumber yang menyatakan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak komited sama ada baginda akan merasmikan AGM Perkasa selepas menerima mengadap Ibrahim selama 40 minit di Istana Mastika.

AGM Perkasa berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu dengan dirasmikan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. –MALAYSIAKINI

No comments

Powered by Blogger.