Hanya Seorang Polis Lepas Tembakan - Khalid

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan hanya seorang anggota polis melepaskan tembakan yang meragut nyawa remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah di Seksyen 11 Shah Alam awal pagi Isnin lalu.

Beliau berkata, siasatan masih lagi diteruskan dan hanya selepas segala-galanya selesai sahaja barulah pihak polis akan mendapat gambaran sebenar kejadian itu berlaku.

"Kami berharap siasatan dapat diselesaikan menjelang akhir minggu ini. Kami harus memastikan siasatan tersebut dilakukan dengan teliti dan menyeluruh," katanya selepas menghadiri pelancaran lambang terbaru Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Khalid berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Pendakwa Raya berhubung tindakan lanjut sebaik sahaja siasatan siap dilakukan.

Katanya, polis turut merakam kenyataan rakan mangsa yang melarikan diri sewaktu dikepung dua kereta peronda polis, bagi mengetahui apa yang menjurus kepada kejadian tembakan tersebut.

Ketika disoal pemberita, beliau berikrar bahawa pihaknya tidak akan menyembunyikan apa-apa fakta berhubung kejadian berkenaan.

Aminulrasyid meninggal dunia akibat terkena tembakan polis setelah dia yang memandu sebuah kereta secara merbahaya dikejar oleh kereta peronda polis di Seksyen 11, Shah Alam.

Menurut saksi, Aminulrasyid memecut dan melanggar beberapa lampu merah sebelum ditahan kereta peronda polis selepas kereta yang dipandunya telah tergesel sebuah kereta lain.

No comments

Powered by Blogger.