BN dedah rahsia menang

SHAH ALAM - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu adalah petanda rakyat kembali kepada pimpinan BN berbanding pakatan pembangkang yang hanya adil pada nama.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, salah satu faktor utama yang menjadi pemangkin kemenangan BN adalah konsep adil dalam pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Selangor.

Menurutnya, di Hulu Selangor terdapat 53 peratus pengundi Melayu, 26 peratus Cina, 19 peratus India dan empat kerusi DUN yang dipertandingkan.

“Mengikut pecahan, dua kerusi diperuntukkan kepada calon Melayu, satu kerusi kepada calon Cina dan satu lagi kepada India. Konsep perkongsian inilah yang menjadikan BN sebagai parti demokratik yang adil tetapi Pakatan Rakyat tidak.

“Pada 2004, mereka meletakkan tiga calon Melayu dan satu calon Cina manakala pada 2008 mereka meletakkan tiga calon Melayu dan satu calon India. Di mana keadilannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahmad: yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, kejayaan BN merampas Hulu Selangor turut dipengaruhi faktor lain seperti kesepaduan jentera BN semasa berkempen dan dasar Perdana Menteri mewujudkan gagasan 1Malaysia yang diterima rakyat.

“BN juga berbangga dengan kredibiliti calonnya, P Kamalanathan yang dilihat sebagai calon berwawasan dan bekerja keras untuk kemenangannya.

“Kelebihan beliau sebagai warga tempatan dan pandai membawa diri menjadikan beliau sangat dekat dengan masyarakat sekali gus disenangi rakyat Hulu Selangor,” katanya.

Berkenaan undi rosak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, katanya, dahulu mereka adalah pengundi yang protes dengan calon BN menyebabkan mereka tidak mengundi.

Menurutnya, apabila BN bertindak mencalonkan P Kamalanathan pada pilihan raya kecil kali ini, mereka kembali mengundi menjadikan majoriti kemenangan kepada BN.

Ditanya mengenai warga Felda yang didakwa menjadi kubu kuat BN, beliau tidak menafikan kenyataan itu.:

“Tidak dinafikan semua penduduk Felda bersyukur dengan apa yang kerajaan berikan kepada mereka dan BN juga berterima kasih atas sokongan itu,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.