Tu Diaaaa.Najib Cadang 'Rompak' KWSP, Jual Harta Kerajaan Melalui MEB

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 31 Mac - Pakatan Rakyat mengalu-alukan pengakuan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa melancarkan Model Ekonomi Baru (NEM) bahawa semua permasalahan ekonomi negara yang disuarakan oleh Pakatan Rakyat selama ini adalah masalah serius yang perlu ditangani segera.

Semasa sidang media yang diadakan di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Najib mengakui pentingnya pelaburan swasta ditingkatkan serta menghentikan ketagihan dan kebergantungan kepada perbelanjaan kerajaan yang boros untuk memacu ekonomi.

"Perkara ini telah dibangkitkan secara berterusan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini. Rakyat yang arif tentang Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang dibawa oleh Pakatan Rakyat sudah tentu akan tersenyum apabila meneliti ucapan Najib mengenai NEM kerana seolah-olah prinsip utama yang diwar-warkan itu disadur dari AEM.

"Perdana Menteri bercakap mengenai keperluan mencapai pendapatan tinggi, membina ekonomi yang utuh secara berterusan dan menjamin kesaksamaan. Inilah ciri-ciri model yang telah diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat sejak 2006 lagi dan telah menjadi sebahagian besar manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12," kata Anwar.

Dalam masa yang sama beliau menjelaskan konsep NEM hanya akan terhenti di situ sahaja kerana kerajaan tidak meletak perkara tersebut sebagai kerangka utama.
"Walaupun kerajaan mengakui bahawa ekonomi kita memerlukan perubahan besar-besaran, ia masih tidak komited kepada reformasi utama membabitkan institusi awam, dasar dan amalan yang menjadi batu penghalang kemajuan kita selama ini.

"Tidak ada apa-apa cadangan kukuh untuk membina kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman atau institusi kerajaan yang lain. Malah Perdana Menteri langsung tidak menyentuh mengenai langkah baru untuk membasmi rasuah. Akibatnya pengumuman NEM ini menjadi satu bukti bahawa Barisan Nasional hanya berminat mengaburi mata rakyat dengan taktik perhubungan awam semata-mata apatah lagi dengan pembabitan APCO.
"Kerajaan BN tidak mempunyai keberanian atau iltizam politik untuk melakukan reformasi yang sangat diperlukan untuk menyelamatkan negara ini. Kegagalan untuk mengakui permasalahan terbesar dalam ekonomi Negara kita ini akan sekali lagi menghalang pencapaian segala niat baik dan matlamat NEM," tegas beliau dalam sidamng media yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Anwar juga menjelaskan rakyat khuatir dengan pengumuman Perdana Menteri berhubung rancangan penjualan harta kerajaan.
"Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa rancangan untuk menjual harta kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta satu lagi proses penswastaan. Tanpa reformasi menyeluruh untuk membina ketelusan, urus tadbir yang baik, pertanggungjawaban dan amanah di dalam sistem negara ini maka kita berdepan dengan satu lagi musim rompakan besar-besaran harta rakyat seperti mana pemerintahan sebelum ini.

"Pengumunan bahawa dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan digunakan dengan lebih rancak untuk membeli syarikat-syarikat dan turut serta di dalam perniagaan baru adalah satu yang amat membimbangkan kerana masa depan berjuta-juta pekerja kita akan menjadi mangsa ketamakan dan kerakusan para pemimpin dan kroni yang akan mengambil kesempatan menggunakan dana rakyat untuk mengkayakan diri mereka.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk berjaga-jaga dan memantau apa-apa jua keputusan atau pembelian KWSP selepas ini, kerana pasti ada campur tangan yang cuba memaksa dan mempengaruhi keputusan KWSP. Tanggungjawab yang lebih besar adalah terletak di bahu Perdana Menteri dan kerajaan, beliau perlu menyenaraikan semua langkah yang telah diambil untuk memastikan apa-apa proses pelaburan dan penglibatan dalam perniagaan baru KWSP dibuat secara telus.
Anwar mengingatkan rakyat agar berhati-hati dengan apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri.

"Sementara kita bangga kerana Perdana Menteri secara senyap-senyap mengakui keberkesanan model ekonomi yang dibawa oleh AEM dan dimasukkan kedalam NEM, kami bimbang pusingan penswastaan dan panjualan aset kerajaan GLC akan diambil peluang oleh BN untuk membina dana pilihan raya umum Ke-13," tegas beliau.
Beliau juga menjelaskan pasukan ekonomi Pakatan Rakyat kini sedang meneliti laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara dengan terperinci.

Pakatan Rakyat akan mengumumkan analisa dan pandangannya mengenai inisiatif-inisiatif ekonomi yang disertakan di dalam laporan NEAC mengenai NEM dalam masa seminggu.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.