Dr Setev Hanya Perlu Bayar Bon Sekuriti RM60,000

SHAH ALAM 30 Mac - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menurunkan jumlah bon sekuriti yang dikenakan ka atas ayah Altantuya Shaariibuu, Dr Setev Shaariibuu berhubung tindakan saman beliau terhadap kerajaan Malaysia dan mereka yang terbabit di dalam pembunuhan kejam anaknya pada tahun 2006.

Mahkamah membuat keputusan Dr Setev hanya perlu membayar RM60,000 setelah mendengar permohonan peguam Karpal Singh pagi tadi.

Hakim Zaleha Yusof bersetuju mengurangkan kuantum sekuriti bon kepada RM30,000 bagi pihak kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang sebelum ini masing-masing menuntut bon sebanyak RM1.25 juta.

Bagaimanapun dua anggota polis yang dijatuhkan hukuman mati, Azilah Hadri dan Sirul Azhar tidak mengemukakan syarat bon sekuriti.

Karpal berkata Dr Setev juga terpaksa mengeluarkan RM10,000 untuk menampung kos guaman tetapi satu tabung akan disediakan untuk mengutip derma daripada Ahli-ahli Parlimen bagi membantu beliau.

"Saya akan meminta bantuan rakan-rakan di Parlimen dan meminta sumbangan mereka untuk mengurangkan beban keluarga Dr Setev. Kita mungkin memerlukan masa tiga bulan untuk mendapatkan jumlah sebelum perbicaraan boleh bermula," kata Karpal.

Permohonan saman ayah Altantuya dijangka akan bermula sebaik sahaja selesai proses rayuan yang dikemukakan oleh Azilah dan Sirul.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.