Nik Aziz Bertemu Dengan Tokoh Hindu Sanggam

Tuanguru Nik Aziz Bertemu Dengan Tokoh Hindu Sanggam Oleh Dr Hamzah Jaffar, TPJ PAS Pahang

Seperti yang saya katakan, saya melihat antara kelemahan pendakwah atau pendokong jamaah Islam ialah terlalu ramai yang bijak berpidato, pandai berceramah, suka berkuliah dan berusrah tetapi tak ramai yang mengambil langkah mempraktikkan penghayatan Islam dalam kehidupan bermasyarakat. Kelemahan ini menyebabkan jamaah jadi kaku, lembab dan sebu. (Gambar Sebelah : TGNA memegang tangan Penasihat Persatuan Hindu Sanggam Malaysia)

Pendakwah sering mengungkapkan ‘Lisaanul haal afsah min lisaanil maqal’ yang bermaksud lebih kurang ‘amal perbuatan itu lebih mudah difahami daripada ucapan lidah’. Sebab itu, di sekolah telah diajar secara praktikal bagaimana cara mengambil wudhu, berbeza pengajaran sebelum ini yang hanya bergantung kepada teori. Semuanya dilakukan untuk mudah difahami oleh anak-anak murid.

Dalam konteks seni dan budaya, saya sebagai YDP PAS Kawasan Jerantut, bersama AJK PAS Kawasan telah mengambil langkah menganjurkan Program Malam Kebudayaan Rakyat Malaysia sempena majlis perasmian Kompleks Imam Al Syafie’ (KIAS) yang merupakan pusat aktiviti PAS Kawasan Jerantut. Cadangan saya telah diterima oleh AJK PAS Kawasan namun sebelum itu, berlaku perbincangan hangat mengenai program kesenian dan kebudayaan yang bakal diadakan. Bagi sesetengah mereka, seolah-olah seni dan budaya ini bukan dari Islam atau tidak sesuai dianjurkan oleh Parti Islam.

Saya jelaskan bahawa seni dan budaya berkait rapat dengan sesuatu bangsa yang diciptakan tuhan. Bangsa itu pula diciptakan Allah swt supaya kita kenal mengenali antara satu sama lain. Kita bukan sahaja perlu kenal bangsa India yang berkulit gelap dan Cina berkulit cerah tetapi kita juga diminta mengenali perkara yang berkaitan dengan bangsa itu sendiri seperti dialek bahasanya, adat resamnya, termasuk seni dan budaya mereka. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘Lita’arafu’ atau saling kenal mengenali antara satu sama lain seperti yang terkandung dalam Ayat 13 Surah Al Hujurat.

Penjelasan saya telah dapat meyakinkan mereka untuk bersetuju mengadakan persembahan kebudayaan pada malam perasmian. Lalu ditetapkan tarikh 29.11.2008 sebagai malam perasmian yang akan dipenuhi dengan persembahan kesenian dan kebudayaan Melayu, Cina dan India. Perasmian akan dilakukan oleh Mursyidul ‘Am, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA).

Untuk persembahan Melayu, kita menetapkan paluan kompang mengiringi kedatangan TGNA manakala persembahan tarian singa pula untuk kebudayaan Cina dan India pula tiupan serunai dan paluan gendang.

Dalam pada itu, timbul satu masalah mengenai 2 permintaan iaitu dari En. Balasubramanium, Pengerusi Kelab Penyokong PAS (Kaum India) Malaysia memohon untuk mengadakan persembahan tarian klasik oleh penari kanak-kanak perempuan. Dan satu lagi, terdapat satu pasukan band terdiri dari anak-anak muda Melayu memohon untuk mempersembahkan muzik rock di hadapan TGNA. Asalnya mereka ini adalah orang UMNO dari sebuah kampung di Jerantut yang majoritinya UMNO. PAS tak pernah menang di situ bahkan sentiasa kalah dengan majoriti antara 500 – 700 undi di setiap kali pilihanraya. Tapi dalam PRU 12, Mac 2008 baru-baru ini, saya sebagai calon Parlimen Jerantut hanya kalah dengan majoriti 60 undi sahaja manakala calon PKR menang dengan majoriti 20 undi. Satu rekod dan sejarah baru tercipta di kampung tersebut. Kenapa berlaku perubahan mendadak?

Antara faktornya ialah kampung tersebut memang meminati program kugiran / muzik. Suatu hari, ketua kumpulan mereka telah bertemu dengan saya memohon untuk membeli 2 alat muzik yang telah ‘uzur’ dan perlu diganti. Budgetnya lebih kurang RM1500. Sebelum saya memutuskan bersetuju memberi sumbangan, saya terpaksa bertanya ilmu saya dari sudut hukum dan dakwah. Maka saya yakin dari sudut hukumnya tiada masalah dan dari sudut dakwahnya, Insya Allah mudah-mudahan mereka menyokong Islam yang saya bawa menerusi PAS, kalaupun tak mahu jadi ahli. Ternyata benar apabila aksi saya itu, diperbualkan di kedai kopi sekitar kampong tersebut bahawa PAS tidak menghalang untuk berhibur. Di situlah timbulnya hasrat mereka nak buat persembahan di hadapan TGNA.

Untuk 2 masalah ini, saya menyatakan di pihak saya, tiada masalah. Cuma saya kena tanya TGNA, apakah beliau bersetuju untuk menyaksikan 2 persembahan itu. Alhamdulillah lebih kurang 2 bulan sebelum program, saya, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan En. Balasubramanium dapat bersembang dengan TGNA semasa kunjungan peribadinya ke Jerantut, sekaligus singgah di rumah Balasubramanium. Kami mengambil kesempatan bertanya sendiri dengan beliau. Dalam pertemuan itu, TGNA telah memberi lampu hijau kepada 2 persembahan itu dengan alasan ‘dakwah’ di mana mereka masih perlu dijinakkan.

Akhirnya berlangsunglah program bersejarah dan cukup hebat pada malam 29.11.2008 itu yang turut dihadiri oleh Ustaz Ahmad Awang, Naib Presiden PAS pada masa itu. Kebetulan pada malam itu juga diambil kesempatan untuk melancarkan Program Jom Sertai PAS Peringkat Kebangsaan yang mana Pahang dipilih sebagai negeri pertama melakukannya.

Dan yang paling menariknya ialah hadirnya Penasihat Persatuan Hindu Sanggam Malaysia (PHSM) pada malam tersebut. Kehadirannya semata-mata hendak berjumpa TGNA yang dilihat amat mesra dengan sesiapa sahaja dan amat terbuka dengan penganut agama lain serta kebudayaan mengikut bangsa masing-masing. Sebenarnya TGNA juga agak keletihan namun beliau gagahkan juga untuk datang semata-mata nak berjumpa dengan Penasihat PHSM itu. Seolah-olah pada malam itu, PAS Jerantut telah berjaya mempertemukan 2 tokoh agama yang berlainan di KIAS.

Cukuplah kalau saya katakan bahawa majlis pada malam tersebut, memberi impak yang besar kepada landskap politik Jerantut dari sudut keterbukaan PAS dengan program kesenian dan kebudayaan antara kaum. TGNA dilihat membawa Islam yang mudah dan syumul sehingga orang merasa seronok dengan Islam, tidak lagi merasa rimas. Sesungguhnya Islam perlu diterjemahkan dalam alam praktikal bukan lagi dalam dunia teori dan fantasi. Lebih-lebih lagi kita telah memerintah di empat buah negeri. Praktikkanlah Islam selagi ada kesempatan. Wallahu’alam.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.