Muhyiddin Hina Rakyat Kelantan



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat menghina rakyat Kelantan dengan mempertahankan keputusan kerajaan untuk membuat bayaran wang ihsan berbanding royalti kepada Kelantan dengan menyifatkannya sebagai selari dengan undang-undang.

“Termanya bukan royalti dan ia telah dijelaskan oleh kerajaan dan juga menerusi iklan demi pengetahuan umum yang telah diterima dengan baik.

“Saya merasakan kita telah melakukannya (membuat bayaran wang ihsan) mengikut undang-undang,” katanya.

“Oleh kerana mereka minta bantuan, kami telah mempertimbangkannya dan bersetuju untuk memberi wang ihsan.

“Jadi kesemuanya adalah mengikut Akta Pembangunan Petroleum dan apa juga tafsiran telah dijelaskan oleh iklan yang kita buat,” kata beliau selepas melancarkan Pelan Transformasi Politeknik di sini hari ini.

Kerajaan menyiarkan iklan satu halaman dalam Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian bagi menjelaskan isu pertikaian wang royalti yang dituntut Kelantan dengan menekankan pada lapan perkara.

Ahad lalu, kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tuntutan hasil petroleum Kelantan dalam akhbar-akhbar Bahasa Malaysia dengan menyasarkan pendirian Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam iklan itu kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.

Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Malah iklan penjelasan itu menambah, Tengku Razaleigh pernah menjelaskan bahawa kerajaan PAS Terengganu tidak boleh mempertikaian kedudukan wang ihsan kerana bayaran yang disalurkan selama ini walaupun atas nama royalti minyak, bukanlah hak negeri itu.

Menjawab isu yang menyentuh ketua pembangkang maklum tentang kedudukan hak kerajaan-kerajaan negeri dalam hal ini, iklan itu berkata, berdasarkan kedudukan peruntukan perundangan yang sedia ada, Anwar sedar kerajaan negeri tidak ada hak terhadap apa-apa bayaran tunai atau royalti berkaitan hasil petroleum yang diterokai di luar perairan wilayah negeri.

Oleh kerana itu kata iklan penjelasan tersebut, ketua pembangkang pernah cuba mengusulkan cadangan pindaan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di Parlimen, Disember lalu.

Tengku Razaleigh dan Pakatan Rakyat (PR) berkempen untuk mendesak kerajaan pusat membayar wang royalti kepada Kelantan.

Tengku Razaleigh telah menyifatkan iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan pusat menerusi akhbar-akhbar Bahasa Malaysia semalam menimbulkan lebih banyak implikasi dan kekeliruan berbanding penjelasan

Justeru tegas beliau, iklan satu halaman itu sekali gus menunjukkan tiada negeri yang mempunyai hak untuk mendapatkan bayaran tunai ataupun royalti termasuk Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, iklan muka penuh yang diambil oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhujah Kelantan juga tiada hak kepada bayaran minyak di bawah Akta Kemajuan Petroleum kerana sumber minyak yang menjadi persoalan terletak di kawasan tiga batu nautika, yang menafikan hak kesemua negeri.

“Iklan itu gagal untuk menyatakan bahawa kesemua minyak yang diperoleh di Malaysia ditemui di kawasan pesisir lebih dari tiga batu nautika, dan bagaimanapun Petronas (terus) membuat pembayaran kepada negeri-negeri ini.

“Dengan hujah yang diturunkan dalam iklan (semalam), Terengganu, Sabah dan Sarawak juga tidak layak menerima bayaran tunai lima peratus (biasanya dan dengan kurang tepat dirujuk sebagai royalti minyak).

“Kesemua terletak pada budi bicara kerajaan persekutuan,” kata beliau dalam pandangannya di dalam razaleigh.com.

Sementara itu, peruntukan RM20 juta yang disediakan Kerajaan Pusat sebagai wang ihsan bagi menggantikan royalti minyak untuk Kelantan sepatutnya diagihkan terus kepada Kerajaan Negeri dahulu sebelum menggunakan duit tersebut untuk tujuan tertentu.

Ahli Parlimen Tumpat dari Pas, Datuk Kamarudin Jaffar berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Nik Sapeia Nik Yusuf yang mencadangkan wang itu digunakan untuk mewujudkan akademik profesional dan pusat bimbingan pra profesional bagi melahirkan anak Kelantan yang mahir dalam pelbagai bidang ketika di peringkat awal dan matang usia.

“Walau apa pun alasan dan cadangan duit itu digunakan, titik utama ialah duit tersebut harus diberikan kepada Kerajaan Negeri Kelantan terlebih dahulu.

“Sesiapa sahaja boleh beri pandangan dan saya berterima kasih kepada Nik Sapeia yang mencadangkan bagaimana duit tersebut patut digunakan,” katanya, akhbar Sinar Harian dipetik.

Kamarudin yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat turut menjelaskan duit tersebut adalah hak Kelantan dan terpulang kepada Kerajaan Negeri untuk menggunakannya.

“Selepas kerajaan negeri mendapat peruntukan tersebut barulah pandangan pelbagai pihak diambil kira,” katanya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Kerjasama anda kami dahulukan dengan ucapan terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.