MT Umno Pertikai Kenapa Ku Li "Bebas"

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 27 Feb — Jika Umno pernah mengambil tindakan tegas ke atas ahli-ahlinya yang membelakangkan semangat parti masa-masa lalu, mengapa tidak ke atas ahli seumur hidup Tengku Razaleigh Hamzah (gambar), yang memperlihatkan pendirian yang bercanggah dengan kerajaan pusat pimpinan Umno-BN, khususnya dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan.

The Malaysian Insider difahamkan itu sebahagian pendirian anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menghadiri mesyuarat lebih tiga jam malam Khamis.

Malah, difahamkan ini juga kali pertama MT kembali kepada ahli-ahlinya memberikan pandangan atas kapasiti Tengku Razaleigh bukannya ahli biasa tetapi dilihat sebagai seorang pemimpin veteran parti.

“Ada syor agar tindakan dikenakan ke atas Tengku Razaleigh... tetapi bukan saranan agar diambil tindakan yang tegas,” kata seorang anggota MT yang enggan namanya disiarkan.

“Ada pandangan mengapa parti tidak mengenakan tindakan ke atas Tengku Razaleigh sedangkan parti pernah bertindak tegas ke atas ahli-ahli parti yang bertindak bertentangan dengan dasar parti,” kata seorang lagi anggota MT yang enggan namanya didedahkan kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun isu berkaitan dengan Ahli Parlimen Gua Musang itu bukan agenda utama mesyuarat malam tadi.

“Ia ada disentuh tetapi bukan isu utama perbincangan,” katanya lagi.

“Ada juga ahli yang berpendapat isu ini perlu ditangani dengan cermat,” kata sumber itu dengan mengambil kira situasi semasa dan juga kedudukan Tengku Razaleigh yang merupakan bukan ahli biasa dalam Umno.

Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata bentuk tindakan terhadap Tengku Razaleigh akan ditentukan selepas menerima pandangan daripada ahli-ahli parti.

“(Kami) nak dengar pendapat ahli-ahli dulu,” kata Najib yang juga Presiden Umno.

Beberapa jam sebelum mesyuarat MT semalam, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendiriannya bahawa beliau hairan dengan tindakan dan kenyataan Tengku Razaleigh yang masih tidak sehaluan dengan keputusan kerajaan persekutuan mengenai isu royalty minyak Kelantan sedangkan pelbagai langkah penjelasan sudah diberikan.

Muhyiddin pernah menyatakan bahawa Tengku Razaleigh perlu menyatakan pendiriannya dalam isu tersebut.

Selain Muhyiddin, segelintir ahli dan pemimpin khususnya dari Kelantan pernah menggesa agar Tengku Razaleigh melepaskan kerusi Parlimen Gua Musang selain dikenakan tindakan disiplin.

The Malaysian Insider difahamkan jawatankuasa pengurusan Umno belum membincangkan isu tersebut secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh ketika dihubugi The Malaysian Insider menjelaskan pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh bagi ahli-ahli Umno untuk memberikan pandangan mengenai isu Tengku Razaleigh.

“Mana-mana ahli ataupun cawangan boleh memberikan pandangan mereka... kami tidak menetapkan sebarang tempoh (untuk mengemukakan pandangan mereka).

“Cawangan boleh hantar kepada bahagian, bahagian boleh hantar ke Badan Perhubungan Negeri dan seterusnya kepada ibu pejabat,” kata beliau sambil menambah, belum ada petanda jelas tentang pandangan akar umbi berhubung pendirian Tengku Razaleigh.

Sehubungan itu kata Rauf, pandangan mereka akan dipertimbangkan oleh pucuk kepimpinan kemudian.

Ketika ditanya sama ada pandangan itu diharapkan hasil mesyuarat agung tahunan cawangan, Rauf berkata: “Tidak. Ahli dan cawangan boleh memberikan pandangan bila-bila masa.”

Cawangan-cawangan Umno akan mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing mulai 1 Mei hingga 15 Jun ini.

Tengku Razaleigh, yang menjadi tumpuan dalam isu ini sejak Pakatan Rakyat menawarkan beliau agar mengetuai kokus pertikaian royalty minyak sejak November lalu, telah pun menyatakan pendiriannya bahawa terserah kepada Umno untuk membuat keputusan tindakan disiplin termasuk kemungkinan memecatnya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.