Karpal: Mahkamah Tak Adil Tolak Permohonan Anwar

Oleh Fazilah Sahir dan Muhammad Faizal Zakaria

Ketua pasukan peguambela perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh menyatakan kesal terhadap keputusan hakim menolak sebulat suara permohonan Ketua Pembangkang itu untuk semakan semula keputusannya pada 29 Januari lalu yang menolak permohonan pembangkang itu untuk memperolehi bukti-bukti utama tambahan.

Antara dokumen serta bukti penting yang dipohon termasuk kenyataan yang direkodkan daripada saksi iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan daripada tiga doktor pakar Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan.

Semakan itu didengar oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin manakala dua lagi hakim Mahkamah Persekutuan ialah Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Heliliah Mohd Yusof.

Karpal Singh berkata beliau merasa kesal kerana semakan hanya didengar sekarang sedangkan perbicaraan sudah pun bermula.

Pihak pembelaan sehingga kini masih belum menerima senarai nama saksi pendakwaan dan beranggapan ia perlakuan tidak wajar oleh pihak pendakwa.

Menurut Karpal adalah tidak adil untuk Datuk Seri Anwar kerana beliau telah membawa tiga pakar luar negara namun tidak dibenarkan melihat bukti tersebut.

"Adakah ini adil? Tanpa bukti utama, perbicaraan ini tidak wajar dan tidak mungkin menjamin keadilan untuk Anwar,"

"Malah perbicaraan telah bermula tetapi kami masih lagi belum memperolehi dokumen-dokumen berkenaan," kata Karpal.

Pada perbicaraan semakan itu, Peguamcara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin menyatakan mahkamah tiada kuasa menyemak keputusan kerana penghakiman Mahkamah Persekutuan adalah muktamad.

Karpal dalam hujah balasnya menegaskan mahkamah boleh menyemak keputusannya sendiri kerana dengan jelas telah berlaku ketidakadilan.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar ketika dihubungi berkata di bawah Seksyen 51A Kanun Acara

Jenayah menjelaskan setiap bukti yang akan digunakan terhadap tertuduh mesti diberikan kepada pihak terbabit bagi tujuan pembelaan tapi mahkamah sekali lagi dilihat menjadi alat kepada pihak Umno dan Barisan Nasional.

"Keputusan ini kita sudah jangka dan sekali lagi rakyat dan masyarakat antarabangsa melihat sistem kehakiman kita masih belum bebas. Masih terdapat tangan hitam yang mengawal setiap keputusan dalam kes ini.

"Dari apa yang kita lihat skrip 1998 akan diulang semula pada kes kali ini," jelasnya.

Shamsul kesal dengan tindakan campur tangan dalam kes ini dan merasakan tidak yakin keadilan boleh ditegakkan dalam sistem kehakiman yang ada sekarang.

"Saya mencabar menteri yang bertanggungjawab dalam undang-undang Datuk Seri Nazri Aziz supaya menjelaskan apa tujuan Seksyen 51A itu dipindah sedangkan dalam kes ini seksyen tersebut tidak digunapakai," tegasnya lagi.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Kerjasama anda kami dahulukan dengan ucapan terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.