Hak Melayu Terhakis? (Bhgn 2)

By Jahaberdeen Mohamed Yunoos

Sebelum saya mulakan perbincangan mengenai Perkara 153 yang kita sering dengar hari ini, elok jika saya turunkan keseluruhan peruntukkan itu untuk tatapan dan fikiran pembaca dahulu. Melalui cara ini, mudah untuk pembaca ikuti perbicangan saya nanti. Penyataan penuh Artikel 153 Perlembagaan Malaysia dapat dibaca di sini.
Benarkah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tercabar?

Seperkara yang perlu diingat ialah: Perbincangan mengenai Perkara 153 telah dipersembahkan sebagai satu isu yang “sensitif” dan oleh itu tidak harus dibincang seolah-olah rakyat jelata tidak matang dan tidak mampu berfikir. Di satu pihak ada yang melaungkan perkara 153 sebagai “hak Melayu” yang “tidak boleh dicabar” tanpa memahami maksud undang-undangnya.

Di pihak yang lain pula ada yang menuduh perkara 153 sebagai “tongkat Melayu” seolah-olah ia sesuatu yang harus dimalukan. Kedua-dua pendirian sedemikian tidak membantu ke arah memahami Perkara 153 mahupun ke arah melaksanakannya dengan cara yang menguntungkan Negara.

Satu lagi perkara:- Di laman web “Pusat Maklumat Rakyat” Kerajaan, ditulis sedemikian:

Kedudukan Istimewa Orang Melayu

Perkara 153 Perlembagaan telah memaktubkan Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak meliputi:-

- perkhidmatan awam :Perkara 153 (2,3 dan 4)

- ekonomi : Perkara 153 (6)

- pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4)

- Kedudukan Istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 ? berhubung dengan tanah rizab Melayu.

- Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).

Saya berpendapat ada beberapa kecacatan dan kesilapan fakta di dalam penerangan di atas.

1. Perkara 153 menyebut mengenai “kedudukan istimewa” dan bukan “hak istemewa”. Ini adalah dua perkara yang amat berlainan dari segi undang-undang Perlembagaan.
2. Saya rasa kurang senang dengan keperluan untuk menyatakan bahawa “hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi oleh Akta Hasutan 1948″ atas beberapa sebab. Pertamanya, ia berbunyi ugutan daripada penerangan. Keduanya, pertikaian mengenai tafsiran sesuatu perundangan sentiasa berlaku di dalam Mahkamah serta di dalam penulisan undang-undang.
3. Dalam sistem demokrasi, Rakyat juga mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka sekiranya suatu peruntukan perundangan itu disalah tafsir atau di salah guna. Tidak masuk akal sekiranya tafsiran sesuatu undang-undang itu menjadi hak mutlak penjawat awam yang bergaji sahaja – terutama apabila kualiti kebolehan pemikiran mereka sendiri di pertikai. Tindakan sedemikian tidak termasuk sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan. Perkara yang menjadi kesalahan ialah niat serta perbuatan untuk “menghasut”.
4. Perkara 153 pernah dipinda oleh Parlimen beberapa kali untuk memperjelaskan maksud peruntukan itu.

Analisa Perkara 153

Sekarang kita akan cuba untuk meneliti peruntukan-peruntukan didalam Perkara 153 satu demi satu. Adalah penting untuk kita memahami peruntukan Perkara 153 supaya kita tidak diperalatkan oleh politikus-politikus yang mahu mempersembahkan diri mereka sebagai “jaguh Melayu” berdasarkan pembohongan dan penyelewengan fakta. Begitu juga, pemahaman Perkara 153 juga membolehkan kita berhadapan dengan rasis yang membantah terhadap Perkara 153.

A. Perkara 153(1) memperuntukan bahawa YDPA bertanggung jawap untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak DAN kaum-kaum lain mengikut peruntukan di situ.

B. Perkara 153 memberi “kedudukan istimewa” dan bukannya “hak” kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. “Hak” adalah sesuatu yang dimiliki oleh pemegang hak dan tidak ada orang lain yang boleh mengambil dan mengurangkan hak tersebut kecuali jika dibenarkan oleh Perlembagaan. Hanya sipemegang hak sahaja yang mempunyai budibicara samada ia hendak gunakan hak tersebut atau tidak. Orang lain tidak mempunyai budibicara terhadap penggunaan haknya (kecuali ada undang-undang yang mungkin menggekang penggunaan haknya. Sebagai contoh, Akta Fitnah terhadap kebebasan bersuara). Kedudukan istimewa, sebaliknya bergantung kepada budibicara munasabah pihak lain. Dalam konteks Perkara 153, budibicara munasabah ini di jalankan oleh YDPA (tertakluk kepada perkara 40 iaitu nasihat kabinet).

C. Perkara 153 (2), (3), (4) dan (8A) memberikuasa kepada YDPA untuk merizabkan perkadaran yang difikirkan munasabah oleh baginda daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

D. Perkara 153 (2) dan (6) memberikuasa kepada YDPA untuk merizabkan perkadaran yang difikirkan munasabah oleh baginda sebahagian permit-permit dan lesen-lesen perniagaan untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah danSarawak.

E. Perkara 153 (2), (3) dan (4) memberikuasa kepada YDPA untuk merizabkan perkadaran yang difikirkan munasabah oleh baginda sebahagian daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

F. Perkara 153 (5) memperuntukan bahawa segala peruntukan dalam Perkara 153 tidak boleh mengurangkan peruntukan Perkara 136 yang memperuntukan bahawa

“Tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan mereka, semua orang, walau apa pun rasnya, dalam gred yang sama dalam perkhidmatan Persekutuan hendaklah diberi layanan yang saksama”

Ini bermakna didalam soal kenaikan pangkat dalam gred yang sama ianya adalah berdasarkan kebolehan/meritokrasi dan bukannya ras.

G. Perkara 153 (9) pula memperuntukan bahawa

“Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak”

Ini boleh ditafsir bahawa keutamaan Parlimen untuk memastikan perkembangan ekonomi Negara lebih tinggi daripada keperluan untuk merizaban lesen-lesen atau permit-permit bagi orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak. Walau apa pun, perizaban tidak boleh menghasilkan penyekatan perniagaan atau pertukangan untuk Rakyat Malaysia yang lain (termasuk Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak yang tidak menikmati perizaban tersebut).

H. Perkara 153 (2) memperuntukan bahawa kuasa yang dijalankan oleh YDPA di bawah Perkara 153 adalah tertakluk kepada Perkara 40. Perkara 40 (1A) memperuntukan bahawa di mana YDPA dikehendaki bertindak mengikut nasihat atau selepas menimbangkan nasihat Jemaah Menteri atau seseorang Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, Baginda WAJIB menerima nasihat tersebut dan WAJIB bertindak menurut nasihat tersebut. Di dalam erti kata yang lain, Jemaah Menteri lah yang membuat keputusan dari segi fakta walaupun dari segi undang-undang Perlembagaan, ianya dibuat oleh YDPA.

I. Perkara 153 mengunakan ungkapan “suatu kadar perizaban yang difikirkan munasabah oleh YDPA”. Ini bermaksud, keputusan kadar perizaban dibuat oleh YDPA (iaitu atas nasihat Jemaah Menteri) dan keputusan ini tidak boleh dicabar. (Kalau pun di bawa ke Mahkamah, saya percaya usaha itu akan gagal). Lain lah sekiranya ungkapan yang diguna adalah “suatu kadar perizaban yang munasabah oleh YDPA”. Jika ungkapan kedua ini diguna, maka besar kemungkinan keputusan kadar perizaban boleh dicabar dalam Mahkamah berkaitan dengan apa itu “munasabah”
Kesimpulan

1. Pada saya amat jelas bahawa Perkara 153 memperuntukan kedudukan istimewa kepada orang Melayu (seperti yang tertakrif dalam Perkara 160) dan anak Negeri Sabah dan Sarawak (seperti yang tertakrif dalam Perkara 161A).

2. Kedudukan istimewa ini adalah berkaitan kadar perizaban daripada:

(a) jawatan dalam perkhidmatan awam;

(b) biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan;

(c) apa-apa permit atau lesen yang dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan.

3. Perkara 153 tidak memberi “hak” tetapi “kedudukan istimewa”. Implikasinya ialah Melayu atau anak Negeri Sabah dan Sarawak yang tidak menikmati perizaban tersebut tidak boleh menuntutnya. Sebaliknya, jika ianya “hak”, semua Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak berhak dari segi undang-undang untuk menikmatinya dan mereka yang tidak menikmatinya boleh menuntutnya di dalam Mahkamah.

4. Sepanjang pengetahuan saya, Perkara 153 tidak pernah dicabar di dalam Mahkamah. Ianya jelas termaktub dalam Perlembagaan dan ekoran ini, adalah tidak benar jika sesiapa berkata bahawa Perkara 153 dicabar.

5. Jika ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap implementasi Perkara 153, rungutan, cadangan atau bantahan harus di kemukakan kepada Jemaah Menteri dan bukannya berucap berapi-api di medan politik dengan dakyah bahawa Perkara 153 dicabar. Itu adalah perbuatan yang sia-sia yang tidak menguntungkan Rakyat langsung, apatah lagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Demikianlah tafsiran undang-undang saya terhadap Perkara 153 dan saya mengalu-alukan sebarang tafsiran yang berbeza supaya isu ini dapat di bincang dengan sopan dan secara intelek.

Salam.

* “Hak Melayu Terhakis? (Bahagian 1)” dapat dibaca di sini.
* Akan Datang: Kualiti Kepimpinan Melayu versus konsep “ketuanan Melayu”

Pada asalnya diterbitkan di Rapera dan diterbitkan semula dengan izin.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.