Kenapa Mahathir Kecewa?

Dr. Mahathir kecewa parti Melayu bantu kaum sendiri

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiga parti utama orang Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terlalu ‘asyik’ mendapatkan sokongan bukan Melayu sehingga tidak mempedulikan rintihan kaum mereka sendiri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika ini apa jua tuntutan bukan Melayu, sama ada beralas undang-undang, Perlembagaan atau perjanjian lalu, akan dilayan oleh parti-parti berkenaan.

Beliau percaya tindakan itu berpunca daripada keyakinan mereka yang menyedari bahawa orang Melayu tidak mempunyai banyak pilihan ketika pilihan raya dan akan tetap menyokong mereka.

“Tidak perlu saya nyatakan apa yang menyebabkan kita berasa kecewa. Tetapi kita lihat orang yang dulu kata orang Islam jika berkawan dengan bukan Islam akan jadi kafir, sekarang peluk cium orang bukan Islam dan dihalalkan segalanya bagi mereka kerana orang Melayu tetap akan bagi sokongan.

“Ia bukan tindakan yang bijak. Orang Melayu rasa tidak boleh lagi bergantung pada parti-parti politik, sebab itu ditubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyuarakan pendapat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 2,000 hadirin pada majlis pelancaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hulu Kelang di sini hari ini. (Utusan Malaysia)

Komen yang jujur daripada Tun – lahir daripada sekeping hati pejuang bangsa Melayu tulen yang kecewa.

MCA, MIC, Gerakan, PPP dan DAP telah lama memperjuangkan nasib bukan Melayu. Kini UMNO, PKR dan PAS pula berebut-rebut melayan kehendak orang bukan Melayu. Semua tuntutan mereka diteliti dan dipenuhi sewajarnya. Untung sungguh dilahirkan jadi Cina, India, Serani, Iban, Kadazan, Orang Asli, Siam dan lain-lain di bumi bernama Malaysia ini. Mereka dilahirkan bersama “hak istimewa” secara semulajadi.

Jikalau keadaan begini berterusan, susahlah Melayu. Oleh itu, saya sarankan Tun nasihati UMNO agar berhenti daripada melayan kehendak Cina, India, Iban atau Kadazan. Berikan tumpuan kepada kehendak Melayu sahaja.

Biarkan parti-parti “tidak sayangkan bangsa sendiri” seperti PKR dan PAS sahaja melayan kaum bukan Melayu. Parti yang bersemangat nasionalisme tinggi seperti UMNO wajib pertahankan Ketuanan Melayu dan perkara-perkara yang berkaitan. Permintaan, tuntutan atau keperluan orang bukan Melayu tidak penting kerana tiada istilah “Ketuanan Bukan Melayu” di Malaysia yang membolehkan mereka diberikan layanan istimewa.

Sekiranya UMNO asyik melayan kehendak bukan Melayu, orang Melayu akan hilang keyakinan kepada UMNO. Akibatnya pertubuhan NGO Melayu akan tumbuh melata bagai cendawan pada batang getah. NGO Melayu ini bakal membawa cabaran kepada UMNO. Tengoklah Perkasa, betapa gah penampilannya. Perkasa ini bakal “mengajar” UMNO betapa teruknya nasib yang bakal diterima oleh parti yang mengabaikan orang Melayu. UMNO mencium keris, Perkasa juga mencium keris. Bezanya, keris UMNO menikam diri, sedangkan keris Perkasa, menikam musuh.

Tun kecewa kerana parti berasaskan Melayu tidak membantu Melayu sewajarnya kerana terlalu asyik membantu bukan Melayu. Orang lain pun kecewa seperti Tun. Oleh itu, seandainya Tun berjaya menyakinkan UMNO agar mengurangkan masa melayan bukan Melayu, dan melebihkan masa melayan Melayu, pasti ramai sokong Tun.

Namun, mustahil UMNO melayan kesemua kehendak Melayu sekali gus kerana Melayu itu ramai. Melayu berasal daripada pelbagai keturunan – dari bumi Nusantara sehinggalah ke India dan Timur Tengah. Ini belum diambil kira Melayu “eee” yang sering muncul dalam Tukar Tiub.

Oleh itu, UMNO mesti menggunakan konsep “yang terdesak didahulukan, yang tidak terdesak, dikemudiankan” dalam pembahagian bantuan.

Melayu mana yang terdesak? Melayu mana yang patut didahulukan? Mungkin Tun boleh berikan idea?
satu malaysia

No comments

Powered by Blogger.