Siapa Yang Jahat, Dr Ridhuan Tee?

Saya percaya Islam tidak pernah menganjurkan umatnya untuk paranoid dan pesimis dengan penganut agama lain. Seruan Allah SWT lewat Surah Al-Kafiruun ayat 6:

“Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.

Saya bukan dalam kapasiti terbaik untuk membidas apa yang dinukilkan oleh Dr. Ridhuan Tee Abdullah melalui tulisannya yang kelihatan mencetuskan polemik di Mingguan Malaysia dan blog beliau. Pun begitu, tulisan saya ini lebih bersifat pandangan seorang lay-man ke atas nukilan kontroversial seorang ahli akademik yang bersifat keliru lagi mengelirukan.

Marah benar Dr Ridhuan Tee kepada sebuah Parti yang disifatkannya Ultra Kiasu (pelik juga,kenapa tidak halakan saja kepada parti tersebut, kenapa perlu label melabel?). Ianya bermula apabila berlaku serangan ke atas Utusan Malaysia yang disifatkan Dr Ridhuan satu perbuatan yang jahat. Saya tidak tahu,apakah menjadi seorang dai’e di Malaysia disyaratkan untuk mempertahankan yang bathil yang diwartakan melalui media massa pemerintah.

Apatah tindakan Utusan Malaysia yang menghenyak kepimpinan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan itu dikira tidak jahat, sedangkan kesemua kerajaan negeri tersebut dibentuk melalui undi rakyat dalam Pilihanraya meskipun Pilihanraya itu boleh dipertikaikan ketelusannya.

Kalaulah parti ‘ultra kiasu’ mempertikaikan kontrak sosial Perlembagaan dikatakan jahat, Utusan juga saya sifatkan jahat kerana bersifat mengadu domba perspektif rakyat ke atas kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang sah dipilih rakyat, sekaligus mencabul prinsip federalisme yang diperincikan melalui Perlembagaan Persekutuan! Saya kerap juga membaca Roket atau Suara Keadilan, sebagaimana saya kerap membaca Berita Harian dan Utusan Malaysia. Tidak pula saya jumpa mana-mana artikel dalam Roket mahupun Suara Keadilan,yang saya lihat mencabar Islam secara langsung, apatah lagi mencabar Perlembagaan. Kurang sesuai bagi Dr Ridhuan Tee, apabila melempar kritikan tanpa menspesifikkan kepada bentuk tuduhan dan siapa yang disasarkan. Sekadar berselindung di sebalik label ‘ultra kiasu’ hanya membuktikan Ridhuan Tee tidak ada keberanian untuk menulis dan ‘mempertahankan yang hak’. Kalau hikmah yang dipertaruhkan beliau, ia tersasar jauh hakikatnya.

Diserang tindakan seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor berikutan tindakan beliau membawa Santa Claus berjumpa Menteri Besar Selangor.

Aduh! Takkan ini standard pertikaian hujah seorang ahli akademik Muslim, hanya berkisar soal Santa Claus? Kalau membawa Santa Claus itu mencemar akidah, maka Dr Ridhuan patut menggesa Majlis Fatwa mengharamkan semua saluran televisyen daripada menyiarkan mana-mana filem barat yang berkisar Santa Claus, dan juga mengharamkan mana-mana pusat membeli belah atau premis perniagaan membawa mana-mana maskot Santa Claus di ruang legar premis mereka yang memungkinkan umat Islam terpengaruh di situ.

Aduhai! Apakah jumud benar umat Islam Malaysia sehingga terpaksa dilindung dengan elemen sedemikian? Kenapa tidak dipertikaikan adat bersanding yang tebal dalam masyarakat Muslim yang jelas-jelas bertentangan dengan akidah? Apa pula pendirian Dr Ridhuan Tee dengan upacara khurafat mengalung bunga di Tugu Negara yang sahih haram mengikut Majlis Fatwa Kebangsaan? Ini sekadar mengambil beberapa contoh.

Saya akui, isu perkauman masih menjadi jajaan politik di Malaysia. Tetapi apakah Dr Ridhuan Tee bersetuju bahawa dengan menjaja agenda ketuanan Melayu yang melampau sehingga melampaui sempadan sikap dan pemikiran masyarakat itu satu bentuk jajaan politik yang sihat. Redhuan Tee menulis, yang jelas memperlihatkan sikap beliau yang sebenar dalam menulis sebuah artikel yang lompong:

Mereka sengaja mahu menguji UMNO yang ketika ini berada dalam keadaan agak tertekan disebabkan tidak mendapat majoriti dua pertiga dalam parlimen dan perpecahan Melayu Islam yang amat menyakitkan.

Saya berpendirian, Melayu bukan Umno dan Umno bukan Melayu.

Melayu tidak semestinya Umno, dan Umno tidak memungkinkan kekuatan atau kelemahan Melayu. Frasa tersebut mungkin benar pada satu ketika dahulu, sewaktu Malaysia menjajat tangga kemerdekaan yang memerlukan Melayu bersatu di bawah satu wadah. Pun begitu keadaan tersebut berubah kini. Harus diakui bahawa antara faktor yang melemahkan Melayu ialah Umno sendiri. Umnolah yang mempelopori usaha menekan Melayu ‘Non-Umno’ sebagaimana yang dilakukan di Kelantan dan Terengganu sejak tahun 1959 sewaktu kedua negeri ini ditawan Pas. Pada mereka, asal saja bukan Umno, wajiblah ia ditekan.

Samalah halnya dengan apa yang berlaku di Kelantan kini perihal petroleum, dana peruntukan dan sebagainya. Jika betul Umno bela Melayu, tidak timbul isu Pas memerintah di Kelantan. Kelantan menyaksikan Melayu membentuk komuniti Melayu antara yang terbesar di Malaysia. Tetapi mereka tetap ditindas, kerana mereka Melayu ‘Non-Umno’.

Lihat bagaimana dahulu mantan Menteri Pelancongan membatalkan semua Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani dengan kontraktor dan pengusaha pelancongan berkaitan pelaksanaan aktiviti pelancongan di lima negeri Pakatan Rakyat. Jangan lupa bagaimana Menteri Pertanian dan Asas Tani mengeluarkan arahan menghalang mana-mana pegawai pertanian untuk menghadiri mesyuarat di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Hanya kerana ‘Non-Umno’, hak rakyat di negeri-negeri ini dipinggirkan demi kuasa politik.

Dahulu di Kelantan pernah dipopularkan satu Slogan “Umno Kuat Islam Kuat”. Islam mazhab mana yang membenarkan penindasan sesama Muslim demi kuasa, saya kurang arif. Mungkin Dr Ridhuan Tee ada jawapannya.

Dr Ridhuan Tee juga mungkin perlu didedahkan dengan muafakat Pakatan Rakyat lewat Konvensyen pertama mereka pada 19 Disember lepas, yang jelas menyaksikan bahawa Islam kekal berdiri teguh sebagai Agama Rasmi Persekutuan dan menjamin agama-agama lain bebas diamalkan sebagaimana yang tertakluk dalam Perlembagaan.

Saya melihat Pakatan Rakyat juga mengambil satu langkah proaktif apabila komited untuk mewujudkan mekanisme penyelesaian masalah-masalah agama di Malaysia supaya tidak diselenggara secara semberono atau blanket-approach.

Saya menunggu hujah lanjut daripada Dr Ridhuan Tee secara spesifik di mana dan dalam keadaan yang bagaimana ‘parti ultra kiasu’ ini mahukan agama lain setaraf dengan agama Islam. Kalaulah isu perbezaan dana peruntukan masjid dan rumah ibadat agama lain jadi isu yang memanaskan Dr Ridhuan Tee, saya kira beliau gagal memahami konsep adil dalam Islam.

Apakah atas nama Islam maka kita boleh membenarkan ketidakadilan berlaku ke atas agama lain? Sekali lagi saya bertanya, Islam mazhab mana yang membenarkan? Tak salah kalau kerajaan memperuntukkan jumlah yang bersesuaian dengan kapasiti non-muslim Malaysia. yang penting, sesuai, asal saja ia menepati dan menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Mustahil Dr Ridhuan mempunyai masalah pemahaman frasa dan interpretasi.

Dr Ridhuan Tee juga mempertikaikan kononnya Pulau Pinang ’seolah-olah bukan Pulau melayu lagi’. Saya berpengalaman berkali-kali ke Pulau Pinang. Sejak di bawah pemerintahan Gerakan-BN lagi Pulau Pinang memang begitu realitinya. Kenapa disalahkan kerajaan baru yang memerintah setahun jagung? Kenapa tidak ditunding jari kepada mereka yang mewariskan masalah sedemikian lama tanpa ada penyelesaian tuntas?

Saya hanya mampu tersenyum apabila Dr Ridhuan membangkitkan soal ‘pengorbanan’ Umno apabila memberikan kerusi Parlimen Gerik kepada Gerakan. Beliau lupa, siapa yang menyumbangkan saham paling besar ke atas persempadanan semula pada tahun 2004 yang menyaksikan kebanyakan kerusi majoriti Melayu dipecahkan menjadi kerusi yang mempunyai pola pengundi bercampur, atas satu alasan sahaja: mengekang kemenangan pembangkang hasil daripada undi protes masyarakat Melayu dek kerana kes Anwar Ibrahim sebagaimana yang terhasil dalam keputusan Pilihanraya Umum 1999.

Saya masih ingat angkuhnya kata-kata Menteri yang bertanggungjawab sewaktu membahaskan pindaan persempadanan tersebut. Kata beliau, hanya parti yang gagal mengaut undi pelbagai kaum sahaja yang takut dengan persempadanan semula tersebut. Nah, 8 Mac 2008 menyaksikan siapa sebenarnya yang harus takut di saat masyarakat Malaysia sudah mula memecahkan tembok perkauman sempit.

Tuntasnya, saya tidak melihat artikel Dr Ridhuan ini satu artikel yang mencerahkan. Pun begitu ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Tidak ada akhbar yang benar-benar bebas daripada ideologi politik di Malaysia. sebagaimana Harakah menjadi suara Pas dan Suara Keadilan bagi Keadilan, demikianlah Utusan yang menjadi suara bagi Umno. Tetapi dalam keadaan ia berdiri sebagai akhbar perdana, maka bukan sesuatu yang bijak untuk mewujudkan provokasi atas nama ‘berterus terang’ sebagaimana yang dipertahankan oleh Dr Ridhuan Tee.

Mempertahankan agama dan bangsa dengan melabel orang lain adalah jahat, saya kira sangat memalukan. Jika benar mereka itu jahat, maka sewajarnya Utusan memperbetulkan dengan artikel dan kupasan ilmiah daripada ahli akademik seperti Dr Ridhuan, bukannya membalas kejahatan dengan adu domba yang provokatif dan memperlihatkan kemengkalan fikir.

Saya jujurnya sedih, Dr Ridhuan yang satu ketika dilihat antara mutiara yang menyinar melalui pandangan bernas beliau dalam Forum Perdana Hal Ehwal Islam satu ketika dahulu, kini seolah-olah nanar dalam mencari arah tuju. Ada yang berpandangan beliau mahu menjadi ‘Ultra-Melayu: lebih Melayu daripada Melayu’, tetapi saya tidak mahu sampai ke tahap itu.

http://nahdah.wordpress.com/2009/12/28/siapa-yang-jahat-dr-ridhuan-tee/

No comments

Powered by Blogger.