Hassan Ali:GKPPNS Tidak Serah Memorandum

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berkata sehingga hari ini beliau tidak menerima sebarang memorandum daripada Gabungan Kesedaran Penyokong dan Pengundi Pas Negeri Selangor(GKPPNS) berhubung desakan kumpulan itu yang meminta Pas keluar dari Pakatan Rakyat

Bagaimanapun katanya, sekiranya intipati memorandum itu menyentuh polisi parti, ia harus diserahkan kepada Pas Pusat.

“Tidak ada…seorang pun tidak datang menyerahkan memorandum kepada saya.Jika mereka datang sekalipun saya akan nasihatkan mereka supaya menyerahkan kepada Pas Pusat,Setiausaha Agung… bukan kepada saya”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Rancangan Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi di Negeri Selangor Bagi tahun 2010 di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, pagi tadi.

Dalam kejadian kelmarin, sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gabungan Kesedaran Penyokong dan Pengundi Pas Negeri Selangor(GKPPNS) mengadakan perhimpunan aman mendesak agar kepimpinan parti itu supaya keluar dari Pakatan Rakyat(PR) ekoran rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan kerajaan campuran Selangor dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu sebenarnya.

Dalam perhimpunan itu GKPPNS turut mengemukakan 13 perkara dalam memorandum untuk mendesak parti itu keluar dari PR.

Bagaimanapun memorandum tersebut gagal dikemukakan kepada Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berikutan pejabat parti itu ditutup berikutan cuti hujung minggu.

Dalam pada itu Hassan menegaskan bahawa, kumpulan terbabit dalam perhimpunan itu sebenarnya bukan ahli Pas seperti yang dilaporkan.

“Satu perkara yang kita pasti,mereka ini bukan ahli Pas walaupun mereka mengaku mereka dari parti ini”,katanya.

No comments

Powered by Blogger.