Waythamoorthy ‘dipecat’ Hindraf berpecah lagi

Pemimpin Hindraf dalam buangan, P Waythamoorthy telah “dipecat” dari pertubuhan itu oleh sekumpulan pemimpinnya - rakan lama beliau yang telah berpecah, sempena sambutan ulang tahun kedua perhimpunan raksana di sini, malam tadi.

Kerajaan telah pun mengharamkan Hindraf sebagai pertubuhan haram pada Oktober 2008.

Keputusan itu dicapai oleh jawatankuasa penaja Hindraf pada 17 Nov lalu.

“Kami ingin menekankan bahawa tiada apa-apa kaitan pertubuhan Hindraf dengan Parti Makkal Sakthi dan Partu Hak Asasi Manusia. Hindraf akan kekal sebagai satu pergerakan bukan politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pergerakan ini secara sebulat suara bersetuju untuk memecat Wyathamoorthy, yang mengaku sendiri dirinya sebagai Pengerusi Hindraf serta-merta, berkuat kuasa mulai 17 Nov lalu,” kata K. Vasantha Kumar yang mendakwa dirinya sebagai salah seorang pemimpin baru Hindraf.

Lima pemimpin Hindraf iaitu Vasantha Kumar, peguam M Manoharan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, P Uthayakumar, V Ganabatirau dan R Kenghadharan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak Disember 2007.

Mereka dibebaskan awal tahun ini selepas Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

Uthayakumar kini mengetuai Parti Hak Asasi Manusia yang pendaftarannya menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan manakala bekas penyelaras nasional Hindraf, RSThanenthiran pula menerajui Parti Makkal Sakthi, yang telah dilancarkan dua bulan lalu oleh Najib.

Sejak November 2007, Wyathamoorthy berada dalam buangan di London.

Turut diumumkan sempena majlis sambutan ulang tahun kedua Perhimpunan 25 November ialah usaha mendaftarkan Hindraf sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Selain Hindraf, satu lagi nama yang akan didaftarkan ialah Malaysian Indian Voice (Mi Voice).

Vasantha Kumar mengumumkan pendirian mereka ketika membacakan deklarasi pada akhir majlis sambutan itu, yang diadakan di Dewan Hamzah di sini dengan dihadiri Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Vasantha Kumar yang ditemui kemudian memberitahu beliau merupakan penasihat jawatankuasa penaja Hindraf dan Mi Voice, yang permohonan pendaftarannya akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan minggu depan.

Ganabatirau juga berucap pada majlis itu. Tiga bekas tahanan ISA itu tidak hadir.

Menurut Vasantha Kumar lagi, Ganabatirau juga merupakan penasihat bersama kedua-dua pertubuhan yang hendak didaftarkan itu.

“Hindraf telah lahir semula hari ini dalam bentuk baru sama ada akan diberikan semula Hindraf atai Mi Voice, kita serahkan kepada Pendaftar Pertubuhan. Kami akan menerima mana-mana satu nama sebagai platform baru untuk bergerak selepas ini,” katanya.

“Kami sudah tidak iktiraf Waythamoorthy. Beliau tidak melakukan apa-apa dalam perjuangan ini (Hindraf) sebelum 25 Nov 2007 dan selepas 25 Nov 2007,” katanya.

Vasantha Kumar menambah, pihaknya akan mendedakhkan butiran terperinci sebab Waythamoorthy dipecat daripada kepimpinan Hindraf.

Waythamoorthy kini berada di London.

“Kalau beliau betul-betul hendak meneruskan perjuangan Hindraf mengapa beliau tidak balik ke tanah air? Beliau tidak akan balik, saya tahu.

“Ramai orang sudah mencabar beliau supaya balik ke Malaysia dan hadapi perjuangan di sini. Beliau tidak berbuat demikian dan beliau tidak akan balik,” kata Vasantha Kumar.

Mengenai laporan The Malaysian Insider sebelum ini bahawa beliau akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Vasantha Kumar berkata akan membuat pengumuman formal selepas syarat pembebasan daripada ISA berakhir 13 Disember ini.

“Tapi saya sebenarnya sudah memohon menjadi ahli PKR sebelum pilihan raya kecil Bukit Selambau.

“Jadi saya percaya saya adalah ahli PKR. Tapi saya tidak boleh membuat apa-apa pengumuman rasmi sekarang kerana tidak boleh terlibat dalam platform politik,” katanya.

Pada majlis itu, Vasantha dan Ganabatirau mengumumkan pihaknya mengemukakan satu memorandum baru 10 perkara kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Bagi pihak PR ia diterima oleh Anwar malam tadi.

Memorandum yang sama akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kemudian.

Memorandum itu menekankan keperluan peluang ekuiti saksama untuk semua kaum, pembasmian kemiskinan, peluang pendidikan yang saksama, pendidikan bahasa ibunda, kebebasan beragama, dasar-dasar pekerjaan, dasar-dasar bagi pekerja estet, dasar sosial, isu kad pengenalan dan surat beranak, dan perwakilan politik.themalaysianinsider.

No comments

Powered by Blogger.