Sekolah Satu Aliran: Bukan Jawapan Kepada Perpaduan Nasional

KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Malaysia tidak bersetuju dengan cadangan melaksanakan sekolah satu aliran di negara ini.

Timbalan Pengerusi Dong Zong, Chow Siew Hon, berkata cadangan itu tidak boleh diterima kerana setiap bangsa di negara ini mempunyai warisan kebudayaan, termasuk bahasa ibunda yang perlu dipertahankan menerusi pendidikan asas.

“Sebaliknya, ada pelbagai pendekatan lain yang boleh dilaksanakan dan berkesan untuk mengukuhkan perpaduan nasional, termasuk menerusi pelaksanaan politik yang adil dan saksama,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, saranan tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim supaya kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan antara kaum tercapai, disokong ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Guru Besar SJK Tamil Malaysia, Doraisamy Perumal menyifatkan cadangan Khoo tidak rasional. (Berita Harian)

Persatuan Cina dan Tamil menolak sekolah satu aliran. Barangkali hanya persatuan Melayu dan persatuan Mamak yang beria-ia mahu masuk UMNO sahaja yang sokong sekolah satu aliran.

Apabila sistem sekolah satu aliran dilaksanakan bermakna hanya sekolah beraliran Bahasa Kebangsaan sahaja yang ada. Sekolah Cina dan Tamil dihapuskan. Bahasa Cina dan Bahasa Tamil mungkin menjadi satu subjek khas. Sekolah beraliran Bahasa Kebangsaan juga akan mengekalkan sistem sekolah kebangsaan – nafas dan budayanya diMelayu-Islamkan. Inilah yang tidak disenangi oleh persatuan Cina dan India.

Nampaknya persatuan Cina dan Tamil bukan mudah untuk digula-gulakan. Mereka berpegang teguh kepada pepatah “biar mati anak jangan mati adat”.

Perpaduan kaum dapat dijalin melalui sekolah satu aliran tidak dinafikan sekiranya tiada faktor lain yang menghalangnya. Jangan kata sekolah satu aliran. Seandainya semua pelajar pelbagai kaum di Malaysia diletakkan di dalam satu sekolah gergasi, perpaduan kaum masih tidak mampu direalisasikan. Kenapa? Kerana penghalangnya lebih kuat daripada sekolah satu aliran.

Selagi setiap kaum terasa mereka disisihkan atau diperlakukan seperti warganegara kelas kedua, usah bermimpi perpaduan kaum akan tercapai. Kencing dalam tempurung, lihatlah wajah sendiri. Adakah wajah kita rakyat Malaysia sama serinya?

Semua orang boleh memberi cadangan ke arah perpaduan kaum, semua orang boleh membincangkannya secara panjang lebar, dan semua orang boleh berangan-angan, akan tetapi realitinya masih jauh panggang dari api.

Seperti kata Timbalan Pengerusi Dong Zong, Chow Siew Hon, setiap kaum ada warisan kebudayaan yang wajib dipertahankan.

Produk sekolah satu aliran mungkin menghadapi krisis identiti. Mereka tidak tahu sama ada mahu mengamalkan identiti Melayu yang menjadi dasar identiti sekolah satu aliran, atau identiti ibunda. Ramai yang akan hidup dalam budaya rojak.

Lihat sahajalah produk sekolah kebangsaan. Bahasa sendiri segan hendak dituturkan. Sebaliknya memilih bahasa Inggeris atau bahasa Melayu walaupun berkomunikasi sesama kaum. Yang lebih parah, tidak menggunakan bahasa ibunda dengan ahli keluarga di rumah.

Tidak salah bercakap bahasa lain dengan sahabat seketurunan atau ahli keluarga selain bahasa ibunda. Akan tetapi bahasa ibunda bisa menambahkan kemesraan dan keakraban sesama kaum.

Dalam soal agama, sekolah satu aliran hanya menguntungkan pelajar beragama Islam. Sedangkan agama lain tidak diajarkan. Pelajar bukan Islam secara tidak langsung terdedah kepada ajaran Islam. Lama-kelamaan mereka menjadi keliru. Ini tidak digemari ibu bapa kerana bimbang anak mereka akan menukar agama. Misalnya, di kampung saya terdapat beberapa orang yang menukar agama yang kesemuanya produk sekolah kebangsaan.

Perpaduan kaum sebenarnya hanya akan tercapai sekiranya terdapat pelaksanaan politik yang adil dan saksama.

Parti-parti perkauman juga patut menukar dasar agar tidak memperjuangkan kaum sendiri sahaja. Tindak tanduk parti perkauman secara melampau boleh membangkitkan kebencian kaum lain.

Misalnya, tindak-tanduk pemimpin UMNO mencium keris menyebabkan orang bukan Melayu bukan setakat meragui UMNO, bahkan meragui orang Melayu. Bagi mereka UMNO adalah Melayu. Sememangnya begitulah dakwaan UMNO. Padahal hakikatnya ada Melayu PAS, Melayu PKR, Melayu DAP dan Melayu tanpa parti.

Begitu juga apabila MCA membuat hal, mempersoalkan DEB misalnya, orang Melayu turut membenci orang Cina. Kerenah politk inilah yang menjadi penghalang kepada perpaduan kaum.

Sekolah satu aliran bukan jawapan kepada masalah perpaduan nasional. Faktor politik yang adil dan peluang ekonomi yang sama rata adalah kunci kejayaan perpaduan kaum.

http://satumalaysia.wordpress.com/

1 comment

DR 1221 said...

salam
mungkin kita perlukan orang macam saudara dalam dewan negara kita kerana kalau sekolah satu aliran bukan jawapan, apakah jawapannya ? tkasih.

Powered by Blogger.