Mesyuarat khas Pas harus ulangi tiada kerjasama dengan UMNO

Oleh - TAN SRI ABDULLAH AHMAD

Desakan-desakan Mursyidul Am Pas, Datuk Tok Guru Nik Aziz bin Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan telah dipersetujui pemimpin-pemimpin yang dikecamnya untuk mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi menimbangkan sama ada parti itu mengadakan EGM atau sebaliknya. Pada saya nampaknya persoalan EGM atau tidak, tidak timbul lagi. Mesyuarat khas ini hanya perlu mengulangi Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO, parti musuhnya, dalam apa situasi pun. Kalau saya baca Nik Aziz betul-betul, padanya keputusan Muktamar di Ipoh, diulangi di Shah Alam, tidak mencukupi. Dia mahu keputusan ketiga untuk memastikan Pas tidak bekerjasama dengan UMNO dalam apa jua keadaan. Sebabnya, barangkali pada pendapatnya, walaupun sudah ada dua keputusan yang muktamad, masih ada lagi permainan politik di kalangan setengah-setengah pemimpin Pas yang mahu menjalinkan hubungan ke arah penubuhan Kerajaan Perpaduan atas sebab-sebab dan kepentingan mereka sendiri. Dan, usaha ini mendapat sambutan pula daripada setengah-setengah pemimpin UMNO yang juga seperti pemimpin yang dituduh oleh Nik Aziz mempunyai agenda politik mereka tersendiri.

Saya rasa saya boleh meneka keputusan mesyuarat khas hari ini akan memperkukuhkan lagi keputusan Muktamar (to reiterate) yakni membuat keputusan sekali lagi tidak bekerjasama.

Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menegaskan bahawa partinya hanya mahu bekerjasama dengan Pas yang bersatu padu, bukan Pas yang berpecah. Jelas Najib telah menaikkan palang politik (political bar). Sebelum itu tatkala UMNO ghairah untuk bekerjasama dengan Pas terutama di Perak dan Selangor selepas pilihan raya umum pada 8 Mac 2008 tidak ada pula syarat demikian.

Nampaknya Nik Aziz terlampau kecil hati dan marah kepada Presiden Pas, Datuk Seri Tok Guru Haji Hadi Awang, Timbalannya Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Pas, Datuk cikgu Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor merangkap Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Datuk Dr Hassan Ali kerana mereka inilah yang dianggapnya sebagai golongan pemimpin Pas yang pro UMNO. Dan, kepada Tok Guru kerjasama dengan UMNO amat dikutuk (anathema).



Kerajaan Campuran

Eloklah saya beri sedikit sejarah tentang Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Campuran. Lazimnya, sama ada Kerajaan Perpaduan (national unity government) atau Kerajaan Campuran (coalition government) terbentuk hanya masa peperangan seperti yang berlaku antara Konservetif Parti dan Parti Buruh British semasa peperangan dunia ke-2 melawan Nazi Jerman. Dan Kerajaan Campuran pula zaman Tun Razak, selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, dibentuk antara UMNO, Pas, Gerakan dan SUPP dan juga PPP. Kini kita tidak menghadapi peperangan atau pun krisis nasional. Apa perlunya diadakan Kerajaan Campuran atau apa lagi Kerajaan Perpaduan kecuali bagi menguntungkan agenda politik orang-orang tertentu sahaja?

Kemarahan Nik Aziz ini berpunca daripada pengalaman pahit Pas semasa menjadi parti komponen BN antara awal 70-an hingga Pas ditendang oleh UMNO pada tahun 1977 kemuncak dengan pilihan raya pada 1978, di mana Pas hilang negeri Kelantan tatkala saya merengkok dalam tahanan ISA selepas kembalinya Tun Razak, pelopor kepada kerjasama Pas dengan UMNO, kembali ke rahmatullah pada 1976. Saya yakin andainya Tun Razak tidak meninggal dunia, kerana saya terlibat secara langsung dengan penubuhan Kerajaan Campuran seluruh Malaysia, Pas tidak akan terkeluar daripada BN. Ini hanya berlaku zaman penggantinya, iaitu Datuk Hussein bin Onn. Tun Razak terlalu cintakan kepada perpaduan ummah dan bangsa. Saya amat mengetahui hati perut dan wawasan siasahnya.



Agenda peribadi

Maaf, bukan UMNO yang bersalah menendang Pas lantaran itu janganlah prasangka dengan UMNO. Apa yang berlaku zaman Hussein Onn ialah bagi memperkukuhkan ‘agenda peribadi’ pemimpin-pemimpin tertentu dalam UMNO yang mahu Pas keluar daripada Kerajaan Campuran. Kerana pada masa itu pada pendapat pihak-pihak tertentu UMNO telah kembali kukuh. Antara sebabnya pada saya agak remeh yang memulakan kemarahan orang-orang tertentu dalam UMNO kepada Pas ialah penubuhan beberapa cawangan Pas di beberapa Rancangan FELDA terutamanya di Johor. Pada suatu hari, Insya-Allah, saya akan menerangkan secara terperinci butir-butir mereka dan isu sebenarnya yang menyebabkan Pas dan UMNO berpisah pada akhir 70-an.

Sebenarnya dalam sebuah negara homogeneous yakni negara seragam atau sejenis seperti Jepun, jarang berlaku Kerajaan Campuran. Lazimnya keadaan ini berlaku di sebuah negara yang majmuk seperti kita, sebab itulah BN dianggotai 14 parti perkauman dan Pakatan Rakyat tiga parti – satu parti Islam, satu DAP pemimpin dan keanggotaannya majoriti Cina dan PKR pemimpin dan keanggotaannya majoriti Melayu. Kerajaan Campuran atau coalition government juga dikenal dalam istilah politik sebagai khemah besar (big tent), united front (barisan bersatu), dan umbrella (payung). Kita boleh mengecam Kerajaan Campuran sebagai strange bed fellows (bersekedudukan antara dua, tiga atau ramai yang aneh, tidak lazim) atau unholy alliance – perikatan orang yang tidak kudus atau suci.



Tak mungkin bersatu

Saya suka mengulangi madah Tun Razak waktu kita menubuhkan Kerajaan Campuran awal 70-an. “Kita telah bersetuju membentuk Kerajaan Campuran kerana parti-parti yang bersahabat dengan kita itu menerima dasar-dasar kita khasnya Dasar Ekonomi Baru. Atas dasar itulah kita mengadakan Kerajaan Campuran supaya mengukuhkan lagi perpaduan rakyat dari pelbagai kaum untuk kestabilan politik dan negara.” DAP sungguhpun dijemput telah menolak kerana tidak bersetuju dengan dasar itu. Tambah Tun Razak, “DAP tidak dapat diterima oleh UNMO kerana ia adalah sebuah parti cauvinis Cina yang menjalankan dasar perkauman.” Saya ingat sangat madah Tun Razak ini kerana saya yang menulis ucapan yang dilafazkannya pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 24 Jun 1972.

Berasaskan sejarah tertentu iaitu peristiwa penubuhan cawangan Pas di kawasan Felda dan keadaan semasa, saya agak bersetuju dengan Nik Aziz. Apa perlunya diadakan Kerajaan Perpaduan antara UMNO dan Pas? Lagipun tak mungkin ini berlaku dengan Pas masih lagi dalam Pakatan kecuali Pas mahu keluar dari Pakatan Rakyat. Saya kira itu bukanlah maksudnya seperti yang telah diputuskan secara muktamad dalam Muktamar di Ipoh dan Shah Alam. Dan, barangkali akan disahihkan lagi hari ini.

Masa depan Pas lebih baik dalam Pakatan Rakyat dan UMNO pula dalam Barisan Nasional. Bak kata Dr Mahathir, tidak boleh mereka bersama kerana mereka incompatible atau mereka yang tidak secocok. Dan, Dr Mahathir ialah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO sewaktu Pas diterajang dari BN. Dia amat mengetahui ketidaksecocokannya Pas dan UMNO.

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story5348403.asp

No comments

Powered by Blogger.