Perlembagaan, kontrak sosial dan perdamaian — Kunta Kinte

OGOS 27 — Menjelang sambutan ulang tahun Kemerdekaan yang ke-52 pada 31 Ogos ini, elok kalau Kunta Kinte cakap sikit mengenai Perlembagaan negara kita. Bukan apa, kalau kita tak cakap nanti ada yang lupa atau tak tahu langsung.

Lagipun Kunta Kinte rasa kerana tidak faham Perlembagaanlah maka tambah ramai orang yang pertikai itu dan ini sampai berbunyi dan berbau perkauman.

Hari ini dah jadi macam satu penyakit. Kalau orang Melayu tuntut hak, ada yang kata itu perkauman. Tapi bila orang bukan Melayu tuntut hak, itu hak mereka. Kacau.

Kunta Kinte ada baca dan dengar orang pertikai Perlembagaan, kontrak sosial dan hak istimewa orang Melayu. Ini bahaya. Tidak kiralah ia dibuat sebab tidak faham Perlembagaan atau dengan tujuan menghasut.

Kunta Kinte sedih bila seorang cendekiawan yang sangat dihormati di Negara kita berdebat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan berkata kontrak social tidak pernah wujud. Kunta Kinte tak sampai hati nak ulang sebut nama dia.

Tapi bukan semua orang macam itu. Orang yang celik sejarah dan arif dalam hal undang-undang macam Allahyarham Profesor Tan Sri Dr Ahmad Ibrahim mengaku adanya kontrak sosial. Alhamdulillah.

Dalam rencana berjudul “Prinsip-Prinsip Perlembagaan Islam dan Perlembagaan Malaysia” Allahyarham Profesor Tan Sri Dr Ahmad Ibrahim, antara lain, berkata:

“Perlembagaan Persekutuan di Malaysia adalah hasil daripada persetujuan yang telah dicapai antara penduduk di Malaysia dari kalangan Melayu, Cina dan India yang digubal atas asas persetujuan tersebut. Perlembagaan Malaysia bukan saja dokumen perundangan malah ia adalah kontrak social dan perjanjian perdamaian.”

Bila Kunta Kinte dengar atau baca ada orang pertikai hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, Kunta Kinte selalu rujuk kepada Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang antara lain, berbunyi:

“Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

Perenggan lain pula, antara lain, menegaskan adalah tugas Yang di-Pertuan Agong “melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.”

Dan antara perkara yang difikirkan munasabah diberi taraf perizaban itu termasuklah jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya.

Jadi bila ada orang Melayu atau bukan Melayu yang pertikai hak Raja-Raja Melayu membuat keputusan, menegur dan menasihati, Kunta Kinte kata tolonglah baca Perlembagaan. Jangan tuduh buta tuli saja. Tak baik dan bahaya.

Oleh sebab itulah sejak akhir-akhir ini kita dengar dan kita baca banyak Raja-Raja Melayu yang bagi nasihat jangan pertikai Perlembagaan dan perjanjian sosial.

Dulu Raja-Raja kita tak titah atau jarang titah macam itu fasal pentadbiran kuat serta tegas jadi orang yang keras kepala pun tak berani sangat nak tunjuk belang atau naik tocang. Sekarang ini kepala kita pun dah ada yang berani luku.

Orang Melayu dari dulu sampai sekarang sangat bertolak-ansur. Sebab itulah mereka sanggup terima pendatang asing dari Benua China dan India jadi warga negara.

Orang Melayu dan Raja-Raja mereka sangat percaya terhadap perundingan dengan Inggeris sehingga Perlembagaan pun ditulis oleh pakar-pakar asing iaitu Lord Reid (Inggeris), Sir William McKell (Australia), Hakim B Malik (India), Hakim Abdul Hamid (Pakistan) dan Sir Ivor Jennings (Inggeris).

Itu pun ada lagi sesetengah rakyat keturunan pendatang yang hari ini kata Melayu tak adil, Perlembagaan hambar dan macam-macam lagi. Peliknya ada juga orang Melayu yang kata betul. Ini Melayu sumpah-sumpah.

Kunta Kinte rasa bukan fasal Melayu tak adil atau Perlembagaan kita hambar, tapi fasal bangsa Melayu nampak lemah akibat berpecah-belah dan pentadbiran yang dipimpin oleh orang Melayu nampak tidak cekap, tidak bersih dan tidak amanah.

Jadi orang Melayu, kaum-kaum Bumiputera dan orang Islam kenalah fikir balik soal perpaduan dan soal amanah supaya bilangan yang banyak itu menjadi punca kekuatan dan bangsa Melayu dihormati. Janganlah fasal politik, kebebasan dan hasutan, kita pecah-belah dan jadi alat.

Jangan sekali-kali kita lupa dan kita wajib ingatkan saudara kita daripada keturunan pendatang pesanan Allahyarham Profesor Tan Sri Dr Ahmad Ibrahim yang Perlembagaan Malaysia juga adalah perjanjian perdamaian. Malaysia tidak akan aman damai kalau Perlembagaan terus dipertikai dan dicabar.

Merdeka, Merdeka, Merdeka. — Berita Harian

No comments

Powered by Blogger.