UNISEL Juarai Formula Varsity Race 2009

SHAH ALAM, 28 Julai - Universiti Industri Selangor (UNISEL) buat julung kalinya melakar sejarah bergelar juara dalam pertandingan Formula Varsity Race 2009 yang berlangsung pada 25 Julai lalu, di Litar Dato’ Sagor, Pasir Salak, Perak.

Pertandingan anjuran Pertubuhan Pelajar-pelajar Kejuruteraan Mekanikal (MESA), memberi kemenangan besar kepada Unisel dan menjadi titik permulaan untuk meneroka lebih jauh dalam penghasilan kenderaan otomotif.

Timbalan Naib Canselor Akademik Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, pertandingan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah menghasilkan rekaan yang inovatif.

“Kesemua department sivil, mekanikal dan elektrikal telah membuktikan keupayaan mereka untuk memenangi bukan sahaja di peringkat antarabangsa, sekaligus merealisasikan cita-cita Unisel untuk menjadi sebuah universiti terkemuka di rantau,” katanya.

Dr Anuar berkata demikian dalam sidang media di kampus Shah Alam Seksyen 7, hari ini.

Katanya, menerusi pertandingan ini, pelajar didedahkan dengan kaedah pembuatan struktur kenderaan, modifikasi enjin, pembentukan badan kenderaan, tahap kecekapan dan kelajuan enjin, secara berkumpulan.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan, Profesor Ir Dr Jamaludin Mat berkata, kemenangan ini membuktikan kejayaan Unisel dan kerjasama mantap tenaga pengajar dan pelajar.

“Kami sebenarnya rasa tertekan, masa kami sampai, sebab apa kita rasa tak bersedia dari serba-serbi, team lain adalah kali ketiga, dan kami harus bersaing dengan mereka yang telah hebat, namun kejayaan ini membuktikan kerjasama penting dalam kumpulan,” katanya.

Kereta lumba yang dinamakan ‘UNISEL V-1’ ini menggunakan enjin Modenas Kriss 110cc yang telah diubahsuai mengikut kapasiti, struktur, panjang dan berat kereta serta diperbuat daripada bahan besi ringan dan komposit.

Bertemakan Educational Innovation of Motorsports and Automotive Race atau EIMA-Race 2009, pertandingan ini disertai 9 institusi pendidikan antaranya, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Institut Kemahiran MARA Lumut, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn.

Dalam pada itu, peserta-peserta yang ditemui teruja dengan kemenangan ini dan menganggap ia suatu yang membanggakan kerana penyediaan hanya dilakukan dalam tempoh sebulan.

Pemandu UNISEL V-1 Endurannce, Izwan Merican Ibrahim Merican berkata, pertandingan ini membuka peluang kepada semua pelajar daripada Universiti swasta atau awam, dan ia sebagai pengukur kepada pelajar dan pensyarah bekerjasama, ia sepatutnya diadakan lebih kerap,” katanya.

“Ini merupakan satu peluang kepada semua pelajar Unisel mempelajari dari pelajar luar, bersaing daripada mereka yang lebih berpengalaman kerana aspek ini penting dalam perlumbaan ni, ia sangat berbaloi kerana rekaan kereta hanya sebulan, namun penat berbayar,” kata Shafiq Idwan Rusli.
Bagi Muhammad Syahril Yazmin Dzapri pula, walaupun pertama kali menyertai pertandingan ini, namun mendapat kemenangan yang bergaya dan paling penting dengan sokongan kumpulan serta kondisi kenderaan itu berjaya mengekalkan prestasi enjin,” katanya.

Di samping itu, Pengurus Pasukan, Profesor Madya Ir Muhidin Arifin berkata, UNISEL V-1 ini hanyalah satu permulaan dan dan satu lagi model V-2 akan dihasilkan untuk pertandingan akan datang.

“ Kami akan memperbaiki formula V-1, buat satu lagi model V-2, dan buat masa ini kami dah ada model tersebut, V-2 ini adalah sebagai peningkatan daripada V-1,” katanya.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)

No comments

Powered by Blogger.